Home Dunia China: Pembinaan struktur asas stesen angkasa siap tahun ini

China: Pembinaan struktur asas stesen angkasa siap tahun ini

Gambar kredit China Media Group

BEIJING – Angkasawan kapal Shenzhou-14 China berjaya membuka pintu kapal kargo Tianzhou-4 tepat pukul 11.09 pagi Isnin selepas memasuki modul teras Tianhe di stesen angkasa.

Difahamkan, kesemua angkasawan terus memasuki kapal kargo itu dengan lancar selepas menyelesaikan kerja persiapan termasuk pemantauan keadaan permukaan pada pukul 12.19 tengah hari.

Seterusnya, tiga angkasawan itu memasuki kapal kargo Tianzhou-3 untuk melancarkan kerja pemindahan barangan seperti dijadualkan.

Untuk rekod, Shenzhou-14 adalah kapal angkasa bermanusia pertama dilancarkan dalam fasa pembinaan stesen angkasa China.

China dijangka melancarkan modul eksperimen Wentian dan Mengtian masing-masing pada Julai dan Oktober.

Dalam misi Shenzhou-14, pembinaan stesen angkasa Tiangong yang terdiri modul teras Tianhe, modul eksperimen Wentian dan modul eksperimen Mengtian sebagai struktur asas akan siap sepenuhnya, dan selepas itu pembinaan makmal angkasa negara China akan dimulakan.

Modul teras Tianhe adalah modul pertama yang dilancarkan ke orbit oleh stesen angkasa China dan ia digunakan terutamanya untuk kawalan dan penyeliaan bersatu di stesen angkasa.

Ia juga mempunyai keupayaan penerbangan autonomi jangka panjang, dan menyokong angkasawan untuk tinggal lama, selain dapat menjalankan ujian perubatan aeroangkasa, eksperimen sains angkasa dan eksperimen teknikal dengan jisim berlepasnya seberat 22.5 tan.

Sementara itu modul eksperimen Wentian pula akan lebih digunakan untuk penyelidikan sains hayat angkasa dan menyokong penyelidikan saintifik mikrograviti.

Menurut rancangan itu, pembinaan konfigurasi stesen angkasa China berbentuk T akan siap menjelang akhir tahun ini, dengan lebih daripada 110 meter padu ruang aktiviti di dalam kabin.

Ia akan dilengkapi dengan dua pintu keluar angkasawan dan satu kargo sendat udara, dan menyediakan enam ruang tidur dan terdapat dua kawasan kesihatan, yang boleh merealisasikan penempatan jangka panjang untuk tiga individu dan jangka pendek untuk enam individu.

— BERNAMA