KUALA LUMPUR – Menteri Besar Johor menafikan dakwaan Ketua Pembangkang Johor yang mendakwa tiada siapa mempedulikan Pangsapuri Saujana walaupun jaraknya hanya satu kilometer sahaja dari kediaman rasmi Menteri Besar.
Datuk Onn Hafiz Ghazi berpendapat dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri Perling, Liew Chin Tong itu tidak benar dan hanya dijadikan modal politik oleh pemimpin DAP itu.
“Cukup-cukuplah nak main politik. Saya jelak dengan hasutan yang merosak pemikiran rakyat,” bidas Onn Hafiz dalam media sosialnya hari ini.
Realiti sebenar, katanya, beliau telah mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor untuk mengambil langkah segera dan bertindak demi membela rakyat setempat termasuklah di kawasan perumahan Pangsapuri Saujana yang didakwa kotor dan usang itu.
Sebelum itu, Mohd Jafni juga memaklumkan bahawa Menteri Besar telah mengarahkan agar isu terbabit segera diselesaikan, malah satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk menanganinya telah pun bertindak.- MalaysiaGazette