Home Sukan JDT tak minat ambil Gonzalo Cabrera pemain naturalisasi

JDT tak minat ambil Gonzalo Cabrera pemain naturalisasi

Gonzalo Cabrera.

KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) menafikan khabar angin yang mengatakan kelab itu mahu mendapatkan khidmat Gonzalo Cabrera untuk dijadikan sebagai pemain naturalisasi.

Perkara itu dijelaskan oleh Pengarah Teknikal kelab, Alistair Edwards menerusi laman media sosial rasmi pasukan di mana beliau memberi sebab utama mengapa pihaknya tidak berminat untuk mendapatkan kembali khidmat Cabrera.

“Saya ingin menjelaskan mengenai khabar angin yang mengatakan JDT akan mendapatkan Gonzalo Cabrera sebagai pemain naturalisasi.

“Kelab telah membuat keputusan untuk tidak menandatangani Cabrera kerana peraturan Malaysian Football League (MFL) yang menetapkan bahawa pemain bukan warisan harus beraksi selama lima tahun bagi mendapatkan kerakyatan Malaysia sekaligus membolehkan pemain itu didaftarkan sebagai pemain tempatan kecuali pemain itu berada dalam program pemain naturalisasi dibawah kelolaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Oleh itu, JDT tidak akan mendapatkan khidmat Cabrera kerana beliau akan berusia 38 tahun pada lima tahun akan datang,” kata Edwards.

Ketika ini, pemain naturalisasi negara adalah Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula. – MalaysiaGazette