KUALA LUMPUR – Kementerian kesihatan (KKM) memperluaskan penggunaan ubat Paxlovid ke fasiliti kesihatan swasta terpilih dalam masa terdekat.
Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, ubat berkenaan akan diberikan secara percuma meskipun pesakitĀ tertakluk dengan caj khidmat rundingan dan yang berkaitan di fasiliti swasta.
Jelas beliau, keputusan itu dibuat demi memastikan akses yang lebih baik kepada pesakit untuk mendapatkan rawatan menggunakan ubat tersebut.
“Walaupun Malaysia telah memasuki Fasa Peralihan ke Endemik dan sempadan negara juga telah dibuka, golongan yang berisiko tinggi seperti warga emas dan individu dengan komorbiditi, termasuklah mereka yang belum menerima vaksinasi, mesti diberikan perlindungan yang terbaik agar mereka terhindar daripada mendapat kesan jangkitan Covid-19 yang teruk,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Untuk rekod, keutamaan pemberian rawatan Paxlovid adalah kepada kumpulan pesakit Covid-19 yang berisiko tinggi.
Khairy berkata, sehingga 5 Jun 2022, seramai 1,364 orang pesakit diberikan rawatan Paxlovid dan telah sembuh sepenuhnya serta tiada sebarang kesan sampingan teruk dilaporkan.
Justeru katanya, rawatan berkenaan terbukti selamat dan berkesan serta dapat mengurangkan kesan teruk jangkitan dan kadar kematian pesakit Covid-19.
Sementara itu Khairy berkata, KKM kini dalam usahanya untuk memastikan golongan berisiko tinggi terus mendapat perlindungan daripada jangkitan Covid-19 yang optimum dengan memulakan rawatan ubat antibodi monoclonal Tixagevimab plus Cilgavimab (EVUSHELD) dalam waktu yang terdekat.
Khairy berkata, ubat itu hanya boleh diberikan kepada pesakit yang berumur 12 tahun ke atas, mempunyai berat badan melebihi 40 kilogram dan dalam kalangan golongan Immunocompromised sederhana hingga teruk.
“Ini mengambil kira tindak balas imun golongan ini terhadap vaksinasi Covid-19 yang berkemungkinan tidak mencapai tahap imuniti yang memuaskan atau individu yang tidak dapat mengambil vaksin sepenuhnya akibat sebabsebab perubatan atau mempunyai sejarah tindak balas teruk terhadap vaksin Covid-19,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kaedah pemberian ubat antibodi tersebut adalah melalui dua suntikan intramuskular yang berasingan bagi dua jenis ubat iaitu Tixagevimab dan Cilgavimab, dan diberikan secara berturut-turut.
Manakala bagi pesakit immunocompromised yang telah menerima vaksin Covid-19, EVUSHELD hendaklah diberikan sekurangkurangnya dua minggu selepas vaksinasi.
“Buat masa ini, ubat antibodi EVUSHELD ini hanya akan diberikan di hospital kerajaan dan ia boleh digunakan sebagai profilaksis pra-pendedahan atau Pre-exposure prophylaxis (PrEP) untuk golongan yang belum dijangkiti Covid-19 tetapi berisiko tinggi untuk dijangkit,” tambah Khairy.
Ujarnya, kajian menunjukkan bahawa ubat antibodi EVUSHELD dapat melindungi penerima dari jangkitan Covid-19 untuk jangka masa enam bulan selepas pemberian suntikan.- MalaysiaGazette