PUTRAJAYA – Sudah tiba masanya pendekatan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diubah kepada sesuatu yang memberi upaya kepada rakyat dan bukan sekadar bantuan secara “one-off”.
Ahli Jawatankuasa Kluster Ekonomi dan Pengurusan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr. Mohamed Mustafa Moohd. Hanefah berkata, kerajaan mungkin boleh melihat atau menjadikan model pemberian zakat oleh majlis-majlis agama negeri di dalam memberi bantuan kepada asnaf.
Jelasnya, pemberian zakat bukan hanya membantu meringankan beban kewangan asnaf malah ia turut membawa penerima zakat keluar dari kepompong kemiskinan.
“Saya berpendapat, mereka ini perlu diberi latihan dalam bidang-bidang lain macam keusahawanan.
“Memang kita cakap, terserahlah kepada penerima (BR1M) untuk menggunakan wang tersebut tetapi apabila kita menjadikan pemberian tersebut sebagai usaha untuk mendayakan mereka dengan memberikan pertambahan pengetahuan dan sebagainya, ia akan membantu golongan tersebut untuk keluar daripada lingkungan penerima.
“Sepatutnya penerima BR1M adalah golongan “vulnerable” yang boleh “graduate” atau keluar daripada kluster tersebut.
“Dalam erti kata lain, mereka tidak sepatutnya menjadi penerima bantuan untuk selama-lamanya. Mereka sepatutnya dibantu untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran supaya boleh keluar daripada kluster pendapatan isi rumah penerima BR1M.
“Jika kita tengok model yang digunakan majlis agama Islam di setiap negeri dari konteks zakat, kita mungkin boleh mempertimbangkan bagaimana kaedah yang digunakan untuk menjadikan seorang asnaf sehingga akhirnya menjadi pembayar zakat.
“Kita mahu penerima BR1M menjadi seperti itu yang mana mereka tidak hanya bergantung kepada BR1M sebaliknya turut menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya semasa sidang media Bajet 2018 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, sebuah rangka kerja perlu dipertimbangkan untuk mengenal pasti sistem pemberian BR1M yang lebih produktif dalam bentuk bayaran tunai, bayaran tunai bersyarat, baucar makanan atau campuran beberapa skim untuk melengkapkan BR1M.
Jelasnya, baucar makanan adalah sebahagian daripada pemindahan wang membolehkan golongan berpendapatan rendah menebus baucar yang diberikan untuk bahan makanan atau menggunakan di premis yang terpilih.
“Baucar makanan telah diterima pakai oleh banyak negara maju dan membangun antaranya Amerika Syarikat, Bangladesh dan Malawi. Ia juga mampu meningkatkan ekonomi apabila penerima menggunakannya di premis perniagaan tempatan,” katanya.
Majlis Profesor Negara telah mengenal pasti beberapa perkara penting yang boleh dikemukakan kerajaan dalam Bajet 2018.
Selain BR1M, mereka turut prihatin terhadap dana untuk menguruskan universiti serta kos sara hidup secara keseluruhannya. – MalaysiaGazette