GEORGE TOWN – Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang merampas 40 set bubu naga di kedudukan kira-kira 1.4 batu nautika barat dari perairan Pulau Burung di Seberang Perai Selatan (SPS) di sini semalam.
Rampasan itu dibuat ketika sepasukan anggota melakukan Op Pertiwi/Benteng antara jam 2.40 hingga 3 petang.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, semasa rondaan dijalankan, anggota penguat kuasa menemukan beberapa pelampung yang mencurigakan di tiga lokasi berbeza berkenaan.
Jelas beliau, pihaknya kemudian membuat pemeriksaan dan berjaya merampas 40 set bubu naga yang dipasang individu tidak bertanggungjawab.
“Kesemua bubu naga yang dirampas dengan anggaran bernilai RM4,800 itu dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut.
“Penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan selain menjejaskan sumber pendapatan nelayan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Abd Razak berkata, pemilik bubu naga boleh didakwa mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.
Sekiranya disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
“Nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang diperuntukan.
“Maritim Malaysia akan terus memantau aktiviti haram ini dari semasa ke semasa dan meminta kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes atau jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri,” kata beliau. – MalaysiaGazette