KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memutuskan akan mengadakan Persidangan Agung Tahunan parti itu pada 12 November depan.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, mesyuarat yang pengerusikan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut bersetuju perhimpunan agung peringkat sayap akan diadakan awal seperti biasa iaitu pada 10 November 2022.
“Persidangan Cawangan diadakan pada 19 Ogos hingga 18 September, Persidangan Bahagian pada 8 Ogos hingga 9 Oktober sementara Persidangan Agung Tahunan pada 12 hingga 13 November,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu urusan pemilihan di peringkat cawangan juga akan ditangguhkan selama 18 bulan daripada tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan.
MPT yang bermesyuarat semalam turut mengumumkan pelantikan bekas veteran UMNO, Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad sebagai ahli MPT yang baharu.
Ia dipercayai bagi menggantikan Datuk Zuraida Kamaruddin yang bertindak meletakkan jawatan MPT pada 26 Mei lalu.- MalaysiaGazette