Home Nasional Datuk Bahri Zain didakwa salah guna kuasa untuk rampas harta pusaka

Datuk Bahri Zain didakwa salah guna kuasa untuk rampas harta pusaka

KUALA LUMPUR – Biras Datuk Bahri Mohd. Zain mendakwa bekas Pengarah Badan Siasatan Khas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu menggunakan kuasanya semasa masih dalam perkhidmatan untuk merampas harta pusaka yang bernilai jutaan ringgit.

Pengarah Kolej Islam Sains dan Teknologi, Noraihan Che Ali mendakwa, Bahri telah mengarahkan sepasukan anggota SPRM Putrajaya menggeledah rumahnya dan merampas sejumlah dokumen berkaitan perniagaan kolejnya dan dokumen-dokumen lain.

“Suami saya telah pulang ke rahmatullah pada September 2015 dan telah meninggalkan harta berjumlah sekitar RM100 juta dan hutang piutang bernilai RM85 juta.

“Kemudian berlaku perebutan harta pusaka peninggalan suami saya di antara adik beradik Allahyarham dengan saya dan anak saya,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Noraihan ditemani peguamnya Datuk Ahmad Zaharil Muhayar.

Mengulas lanjut mengenai pertikaian harta berkenaan, Noraihan menjelaskan, adik kepada suaminya yang juga isteri kepada Bahri, Datin Norhaslina Abdullah memintanya menandatangani surat penolakan harta yang ditinggalkan suaminya.

Katanya, satu surat peguam turut diserahkan bagi tujuan berkenaan di samping meminta anaknya untuk menurunkan cap jari bagi tujuan menolak harta yang ditinggalkan bapanya.

“Mereka mendesak saya supaya menandatangani surat penolakan harta, malah cuba mendapatkan cap jari anak saya yang merupakan anak yatim dan baru berusia sembilan tahun.

“Yang mendesak saya ialah Datin Norhaslina Abdullah dan suami beliau, Datuk Bahri Mohd Zain.

“Selepas keengganan kami anak beranak untuk menandatangani surat penolakan harta tersebut, sepasukan Unit Khas SPRM Putrajaya telah datang ke rumah saya pada 16 Januari 2016 untuk menggeledah dan menyita kediaman saya dan mengambil semua dokumen berkaitan Allahyarham suami saya terutama berhubung Kolej Islam Sains dan Teknologi,” katanya sambil mendakwa operasi tersebut didalangi oleh Bahri.

Noraihan telah membuat laporan polis pertama pada 19 Februari 2016 berhubung salah guna kuasa Bahri di dalam usaha merebut harta pusaka tersebut namun tiada tindakan diambil oleh pihak polis.

Selepas itu, satu lagi laporan telah dibuat di Balai Polis Presint 7, Putrajaya pada 1 Mac 2016 namun menurut Noraihan, masih tiada tindakan yang diambil sehingga ke hari ini.

Dengan itu, beliau mendesak pihak polis dan SPRM menjalankan tugas untuk menyiasat aduan tersebut.

Sementara itu, peguam Noraihan, Ahmad Zaharil mempersoalkan mengapa isu berkaitan anak guamnya masih belum selesai selepas lebih setahun aduan kepada pihak polis dibuat.

“Mengapa pula isu berkaitan wasiat dan harta pusaka mendapat campurtangan pihak SPRM dan bukannya polis?” soal Zaharil.- MalaysiaGazette