KUALA LUMPUR – Walaupun ramai mangsa telah berkongsi pengalaman bagaimana duit dalam akaun bank mereka telah dipindahkan tanpa kebenaran dan sebarang makluman, tetapi polis mendapati mangsa juga tidak memberi cerita yang penuh.
China Press melaporkan, keadaan itu berlaku kerana mangsa berharap pihak bank akan dipertanggungjawabkan dan memulangkan wang mereka yang ditipu.
Timbalan Pengarah (Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Victor Sanjos berkata, mangsa sengaja memperbesar-besarkan kehebatan penipu untuk memberi gambaran seakan-akan wang dalam mereka dicuri tanpa sebarang kelalaian pihak pengguna.
Beliau berkata, siasatan polis bagaimanapun mendapati mangsa enggan mendedahkan sama ada mereka telah memuat turun APK yang mencurigakan atau berurusan dalam laman web yang mencurigakan.
“Ada mangsa yang sengaja memberi gambaran bahawa semuanya adalah salah bank kerana mereka tahu wang mereka telah ditipu dan satu-satunya cara untuk mendapatkan semula duit yang hilang adalah bank akan membayar balik,” katanya.
Victor berkata, walaupun polis memahami kerugian yang dialami mangsa, tetapi polis akan melakukan siasatan mengikut fakta.
Sementara itu, seorang pakar aplikasi telefon menasihatkan orang ramai supaya tidak sesekali memuat turun APK, khususnya dari China, kerana pengguna mungkin membenarkan aplikasi berkenaan mengakses khidmat pesanan ringkas (SMS) tanpa menyedarinya.
Katanya, kebenaran itu membolehkan APK berkenaan membaca dan seterusnya menyekat mesej daripada bank sekali gus memindahkan duit daripada akaun mangsa.
Jelasnya, ramai orang Cina telah menjadi mangsa penipuan berkenaan kerana memuat turun aplikasi dari China yang tidak ada dalam Google Playstore. – MalaysiaGazette