KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Bahagian Gombak mengesa kerajaan India mengambil tindakan tegas ke atas rakyatnya, Nupur Sharma kerana menghina Nabi Muhammad SAW.
Tindakan itu perlu demi menjaga hubungan diplomatik kerajaan itu dengan negara Islam sedunia.
Tegas Timbalan Ketua Putra Bahagian itu, Mohamed Shahrin Ismail, agak dikesalkan kenyataan berbaur penghinaan itu dibuat secara langsung dan sengaja menerusi bual bicara yang melibatkan pegawai Parti Bharatiya Janata (BJP).
Katanya, umum BJP adalah parti yang memerintah negara India dan kenyataan pegawai pemerintah menghina junjungan besar Nabi umat Islam memberi gambaran jelas mengenai diskriminasi perkauman oleh golongan minoriti muslim India.
“Perdana Menteri, Narendra Modi perlu lebih berfikiran terbuka dalam mengurus negara, yang mana parti BJP yang dianggotainya banyak menghentam umat Islam.
“Isu perkauman yang sering dicetuskan beberapa pihak di India sehingga berlaku insiden pergaduhan antara mereka dan golongan muslim India memberi gambaran jelas sikap pemerintah mendiskriminasi golongan minoriti muslim India,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Kata beliau, tuntutan maaf sahaja tidak mencukupi malah tindakan undang-undang perlu dikenakan ke atas individu itu supaya diskriminasi melampau kepada golongan muslim India dapat dihentikan.
Mohamad Shahrin yakin dan percaya, jika perkara itu tidak dihentikan segera kemungkinan akan mencetuskan pergaduhan yang lebih besar antara umat Islam dengan golongan kafir.
“Tercetusnya tunjuk perasaan di Karaci, India boleh merebak dengan lebih besar lagi sekiranya tindakan perundangan tidak diambil oleh pemerintah.
“Malah, isu memulaukan golongan muslim India yang dilakukan sekarang adalah bertentangan dengan nilai moral dan kemanusiaan,” katanya. – MalaysiaGazette