PUTRAJAYA – Warga Bangladesh berstatus Permastautin Tetap (MyPR) mengaut keuntungan lebih RM2 juta menerusi kegiatan sindiket Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) akhirnya tumpas menerusi serbuan Ops Khas, dua hari lalu.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Khairul Dzaimee Daud, sindiket berkenaan tumpas menerusi serbuan di dua premis berasingan di Jalan Lumut, Kuala Lumpur dan Pandan Cahaya, Ampang.
Katanya, dalang sindiket berkenaan yang berusia 42 tahun ditahan bersama isterinya.
Lelaki itu menggunakan syarikat pembinaan dan agensi pekerjaan haram untuk mengaburi lihak berkuasa dan meyakinkan pelanggan untuk urusan pengambilan pekerja asing di bawah RTK.
Jelasnya, hasil siasatan mendapati sindiket berkenaan mengenakan bayaran antara RM3,500 hingga RM4,200 bagi setiap permohonan.
“Lelaki ini mendapatkan status MyPR sejak sejak 18 Febuari 2015 dan berkahwin dengan wanita warga tempatan.
“Hasil risikan hampir dua bulan, JIM mendapati syarikat pembinaan ini telah beroperasi sejak 2014 dan disyaki menjalankan aktiviti sebagai ejen dalam menguruskan permohonan pekerja asing sekitar tahun 2021,” katanya dalam sidang media hari ini.
Dalam pada itu Khairul Dzaimee berkata, seorang wanita warga tempatan bersama suaminya warga Bangladesh berusia 36 tahun ditahan di premis kedua.
Turut ditahan, dua lagi warganegara Bangladesh.
“Mereka yang ditahan ini berumur 36 hingga 52 tahun,” tambahnya.
Mengulas lanjut beliau berkata, sebanyak 488 naskah pasport antarabangsa berjaya dirampas di kedua-dua premis yang diserbu.
Turut dirampas 12 cap syarikat, dua set komputer dan wang tunai berjumlah RM38,307 dipercayai hasil keuntungan aktiviti berkenaan.
“Sebanyak 457 naskah pasport Bangladesh, masing-masing lapan naskah passport Indonesia, India dan Pakistan, enam naskah passport Myanmar dan senaskah passport Nepal,” katanya lagi.
Khairul Dzaimee berkata, seramai enam orang ditahan di kedua-dua premis berkenaan.
“Kesemua yang ditahan di lokap Imigresen di bawah kesalahan Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Siasatan juga dilakukan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan juka sabit kesalahan boleh dihukum tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tidak melebihi lima tahun atau kedua-dua sekali,” ujarnya. – MalaysiaGazette