Home Nasional Siasat syarikat penerbangan eksploitasi tubuh wanita ketika temuduga

Siasat syarikat penerbangan eksploitasi tubuh wanita ketika temuduga

Foto luahan netizen yang menghadiri temuduga di syarikat penerbangan baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) memberi amaran kepada syarikat penerbangan di negara ini agar tidak merendahkan peranan utama seorang anak kapal dan mempermainkan sentimen profesion berkenaan.

NUFAM berkata, pihaknya akan akan membantah mana-mana syarikat penerbangan yang cuba mengeksploitasikan kaum pekerja terutama yang dipaksa menonjol sikap “kurang sopan” terhadap profesion tersebut.

“Kita akan bawa setiap NGO wanita dan sama-sama protes di depan pejabat syarikat penerbangan dan jangan cabar kesatuan.

“Kelakuan kurang sopan ketika menari semasa temuduga atau pun semasa bekerja dalam kapal sebenarnya tidak digalakan langsung kerana atas kepentingan keselamatan penumpang dan juga kru itu sendiri.

“Apa bila keadaan kecemasan berlaku, pekerja akan panik dan tidak tahu bertindak sebab asyik mahu bertiktok dan bervideo. Manakah fokus atau aspek keselamatan terhadap penumpang di situ?” soal NUFAM dalam satu kenyataan hari ini.

Kesatuan itu mengulas luahan seorang wanita yang hadir semasa temuduga di sebuah syarikat penerbangan apabila ditanya pandai menari Tiktok secara seksi.

NUFAM menegaskan, bdaya aksi menari dalam uniform kerja harus berhenti kerana ia menonjolkan ketidaksopanan semasa bekerja.

“Jangan sekali sertai mana mana syarikat yang hanya mahu eksploitasi pekerja dengan menonjol “tubuh badan” serta memaksa berjoget semasa temuduga.

“Ini bukan budaya mana mana syarikat penerbangan antarbangsa. Budaya ini hanya seumpama mengekploitasikan pekerja dan mahu menjual pekerja wanita.

“Kami dimaklum oleh mereka yang hadir semasa temuduga adakah mereka pandai menari Tiktok dan secara seksi?

“Apakah motif sebenar syarikat penerbangan memaksa mereka yang hanya datang untuk meminta kerja?” soal kesatuan itu.

Jelas NUFAM lagi, sekiranya ingin menjadi penari, bakat itu sepatutnya ditonjolkan di stesen televisyen atau kelab malam dan NUFAM tidak akan bantah.

“Apa yang kami lihat adalah budaya ini sudak keterlaluan dan ia semakin menjadi di dalam syarikat penerbangan malah syarikat itu sudah lupa “tugas dan misi sebenar” sebagai sebuah syarikat penerbangan bertaraf antarabangsa.

“Jadi, jangan malukan bendera Malaysia yang terpampang diluar kapal itu. Mereka ini hanya tahu marketing dan keuntungan lebih tapi bila bab buang pekerja dan pengambilan semula pekerja, ada mereka beri perhatian lebih?” soalnya.

NUFAM juga menyaran Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menyiasat sikap kurang sopan mana mana syarikat penerbangan yang memaksa kru kabin menari semasa ditemuduga.

“Ini adalah budaya yang keterlaluan yang harus dibendung dan menjadi teladan yang tidak betul.

“Kami tidak nampak mana mana syarikat penerbangan dunia cuba mahu merendahkan martabat profesion kru kabin dengan memaksa mereka menari di khalayak ramai. Mungkin pekerja itu akan merasa malu kerana dipaksa tapi adakah ini kriteria baru menyatakan mereka ini hanya layak menjadi seorang kru kabin?

“Adakah ini kriteria yang baru harus dilalui oleh mana mana pekerja yang menaruh harapan untuk bekerja di syarikat ini?

“Ini akan menonjol imej sebuah syarikat penerbangan modern slavery atau buruh paksaan. Kami gesa syarikat penerbangan agar hentikan budaya tarian tik tok dan memaksa pekerja kru kabin melakukan pelbagai.

“Jangan pula sampai dikecam oleh aktivis atau NGO Islam selepas ini,” katanya kenyataan itu. – MalaysiaGazette