KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menangani isu pencerobohan China di ruang udara dan perairan negara di Laut China Selatan dengan lebih tegas kerana ia jelas mencabul kedaulatan negara.
Malah ketika ini bukan sahaja ianya sudah mencabul kedaulatan sebaliknya keluh kesah rakyat kita khasnya nelayan terutamanya di Sarawak apabila aktiviti perikanan terganggu dengan kehadiran kapal peronda China.
Lebih mengecewakan dan mengejutkan apabila segelintir nelayan di Sarawak berdepan pula dengan masalah pembulian oleh pengawal laut China selain dakwaan nelayan haram semakin berleluasa sehingga ada golongan teraniaya.
Itu antara luahan sedih oleh Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien yang berpandangan isu pencerobohan China di Laut China Selatan dengan lebih tegas kerana ia jelas mencabul kedaulatan negara.
Malah kata Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) itu, hakikatnya kerajaan perlu bertegas dan tidak berkompromi dalam perkara yang mencabul kedaulatan negara.
“Saya kecewa sebenarnya, bagaimana isu ini dipandang begitu remeh? Kerajaan perlu bertegas, janganlah diam sahaja. Jangan biar orang luar masuk, ceroboh kemudian beri alasan tidak masuk akal.
“Saya beri contoh, nelayan-nelayan kita yang sedang begitu sengsara kerana pencabulan dan pencerobohan ini. Perikanan adalah sumber kehidupan para nelayan kita, andainya masalah berlarutan kesan negatif ini adakah kita akan berdepan pula isu bekalan laut kelak?
“Ada juga dakwaan kata nelayan haram dari China pula ambil kesempatan lakukan aktiviti perikanan di kawasan pertikaian Kepulauan Spratley sekaligus mendukacitakan nelayan tempatan yang hilang mata pencarian.
“Saya juga sedar isu ini juga sedang dihadapi oleh nelayan di negara jiran juga, kita perlu bawa perkara ini kepada perhatian Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) bagi tangani perkara ini, janganlah duduk diam,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Untuk makluman, sebelum ini ada laporan membimbangkan mendedahkan sejak 2021 pesawat pejuang ‘halimunan’ China, J-20 didakwa berlegar di ruang udara Laut China Timur dan Laut China Selatan untuk melakukan rondaan dan latihan rutin.
Dalam pada itu, Larry turut menyoal adakah ancaman di Laut China Selatan akan melemahkan sebarang usaha dalam membantu dan membangunkan ekonomi nelayan di Sabah dan Sarawak.
“Kita perlu siap siaga dalam berdepan dengan situasi seperti ini. Malaysia tidak bersendirian dalam pertikaian ini. Filipina, Vietnam dan Brunei semuanya telah mempertikaikan secara rasmi dalam konflik Laut China Selatan. Adalah jelas pendirian negara-negara ASEAN terhadap tindakan tidak berintegriti seperti ini,” ujarnya. -MalaysiaGazette