BERA – “Hukuman mati tetap ada cuma tiada lagi mandatori bagi memberi pilihan kepada hakim menggunakan budi bicara dalam menjatuhkan hukuman.”
Itu respon Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob susulan pendirian kerajaan mahu memansuhkan dasar hukuman mati mandatori di Malaysia dan digantikan hukuman lain tertakluk budi bicara mahkamah.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan memperhalusi beberapa perkara berkaitan supaya diperkemaskan lagi.
Ismail Sabri berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) kali ke-23 di Dewan Padang Luas Majlis Daerah Bera di sini hari ini.
Kata Perdana Menteri, istilah mandatori itu diberikan kepada hukuman pilihan iaitu hukuman mati atau hukuman lain seperti penjara seumur hidup dan sebagainya diberikan kepada pesalah.
“Secara dasarnya kerajaan bersetuju dengan perkara tersebut, cuma ada beberapa pandangan dari menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan sebagainya perlu diperkemaskan lagi dan diperincikan.
“Pada mesyuarat Kabinet minggu lalu, kita dapat laporan jawatankuasa berkaitan untuk melihat cadangan hukuman mandatori dipinda, hukuman mati tidak dimansuh, kena faham ia masih kekal ada tetapi mandatori ditukar kepada budi bicara,” katanya.
Ahli Parlimen Bera itu berpendapat setiap insan wajar diberi peluang kedua dan justeru itu, pemansuhan hukuman mandatori dapat memberikan peluang kepada pesalah mengikut atas budi bicara hakim.
Beliau turut memberi contoh dan situasi bagi menggambarkan pemahaman isu berkenaan dengan kes berkaitan Sesyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Kalau sekarang sebagai contoh, Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) hakim tiada pilihan terikat dengan mesti jatuhkan hukuman mandatori.
“Sedangkan kadang-kadang melibatkan anak anak muda umur 18 tahun, hakim mungkin punya pandangan anak muda ini teraniaya seperti ada dadah dalam beg tetapi tidak dapat membuktikan siapa yang bagi.
“Akhirnya, hakim tiada pilihan perlu jatuhkan hukuman gantung sampai mati mandatori walaupun hakim anggap budak muda ini patut diberikan peluang untuk hidup dan boleh berubah jadi baik,” ujarnya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: