KUALA LUMPUR – Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini mengambil alih siasatan kes sogokan RM5 juta dan ugutan ke atas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Abdul Rahman daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.
Bagi tujuan itu, Syed Saddiq selaku Ketua Angkatan Mersatu Anak Muda (Armada) dipanggil ke Bukit Aman hari ini untuk direkodkan keterangan hampir dua jam berhubung kes berkenaan.
Pemimpin Armada itu ketika ditemui pemberita selepas memberikan keterangan berkata, proses memberikan keterangan itu merupakan kali kedua selepas kenyataannya direkodkan oleh IPD Subang Jaya pada 4 Oktober lalu.
“Sebelum ini saya buat laporan di USJ, sekarang diambil alih oleh pihak Bukit Aman. Kenyataan pertama saya direkodkan di USJ dan ini adalah kenyataan kedua.
“Ia adalah susulan daripada laporan polis di USJ dan dari situ diambil alih oleh Bukit Aman untuk kes ini saja,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.
Pada 4 Oktober, Syed Saddiq dalam sidang medianya mendakwa beliau diancam oleh individu sama yang mengugut keluarganya agar beliau melepaskan jawatan sebagai Ketua Armada dan politik .
Beliau berkata ugutan itu disertai dengan beberapa foto sensitif menerusi aplikasi telefon pintar sekitar jam 1.30 pagi awal pagi, 4 Oktober lalu.
Syed Saddiq sebelum ini membuat laporan polis terhadap ancaman yang dibuat diri dan ahli keluarganya oleh pihak yang menawarkan RM5 juta kepadanya untuk meninggalkan PPBM.
Katanya, beliau turut diminta menjawab beberapa persoalan berhuhung satu laporan polis yang dibuat ke atasnya oleh pengasas dan bekas anggota PPBM, Kamarulzaman Habibur Rahman atas dakwaan memfitnahnya.
“Saya juga datang untuk menjawab soalan-soalan yang datang daripada laporan polis yang dibawa oleh Kamarulzaman, salah seorang pengasas PPBM yang keluar parti yang membuat laporan polis.
“Sogokan-sogokan ini berkait rapat dengan satu sama lain khusus apabila ia melibatkan ugutan ke atas diri saya dan juga ahli keluarga
Saya juga nak berterima kasih kepada pihak polis kerana menangani kes dengan profesional dan juga pihak cawangan khas yang banyak membantu khususnya dari segi nasihat kerana isu ugutan ini bukan isu yang mudah.
Ditanya tentang hasrat beliau mahu mendedahkan nama-nama pihak yang membuat ugutan itu, beliau bagaimana pun berkata kes itu diserahkan kepada pihak polis yang menyiasatnya.
“Itu tak apa, saya biarkan kepada pihak polis untuk siasat. Setakat alhamdulillah isu ini ditangani dengan baik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette