Home Utama BN sedia terima mana-mana parti termasuk PBM – Zahid

BN sedia terima mana-mana parti termasuk PBM – Zahid

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bergambar bersama selepas merasmikan Wacana Aspirasi UMNO yang melibatkan jemputan 35 NGO Belia seluruh negara serta forum diskusi Cabaran dan Masa Hadapan Orang Muda ketika di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 11 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) terbuka untuk menerima mana-mana parti yang yakin dengan prinsip BN termasuk Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Bagaimanapun, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima permohonan rasmi parti itu untuk menyertai gabungan tersebut.

“Di dalam perlembagaan BN terdapat tiga kategori iaitu parti teras, parti gabungan (Friends of BN) dan direct membership maka ketiga-tiga teras ini memperlihatkan keterbukaan BN untuk menerima mereka-mereka yang yakin dengan prinsip BN untuk bersama-sama dengan BN.

“Setelah melontarkan perkara ini di dalam Konvensyen BN pada 1 Jun lalu ini memberi gambaran bahawa kesediaan kita untuk menerima bukan hanya PBM tapi parti-parti lain sebesar dan sekecil mana pun sebagai salah satu tiga teras tadi,” katanya selepas merasmikan Wacana Aspirasi UMNO di Menara Dato’ Onn hari ini.

Bagaimanapun Ahmad Zahid  akan membincangkan permohonan mana-mana parti dengan kepimpinan tertinggi BN sebelum membuat keputusan.

“Kita belum membuat keputusan tetapi tentunya perkara-perkara ini telah sampai kepada saya dan saya tidak akan membuat keputusan seorang diri saya akan bincangkan dengan rakan-rakan di dalam kepimpinan tertinggi BN untuk meneliti tentang jika secara rasmi mana-mana pihak memohon menyertai BN,” ujarnya.

Baru-baru ini, PBM memutuskan parti itu akan bekerjasama dengan BN dan surat rasmi akan dihantar kepada parti tersebut dalam masa terdekat.

Presiden parti itu, Larry Sng berkata Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin akan mengetuai  PBM akan berperanan berbincang dengan parti lain bagi membentuk kerjasama sebagai sebuah gabungan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Zuraida ketuai PBM bincang gabungan dengan BN