Home Politik RUU lompat parti perlu dilulus sebelum PRU-15, kata Zahid

RUU lompat parti perlu dilulus sebelum PRU-15, kata Zahid

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra bersama tetamu yang hadir selepas merasmikan Wacana Aspirasi UMNO yang melibatkan jemputan 35 NGO Belia seluruh negara serta forum diskusi Cabaran dan Masa Hadapan Orang Muda ketika di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 11 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 berkaitan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti perlu diluluskan di Parlimen sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Jelas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ia penting bagi mengelak Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) keluar  parti  selepas pilihan raya umum kelak.

“Ini bukan soal kos tapi soal masa. Saya fikir yang penting adalah niat. Kalau niatnya mahu bawa undang-undang ini ke Parlimen, bila pun jeda waktu ditentukan, ianya harus dapat kelulusan Dewan Rakyat sebelum pilihan raya umum.

“Ini cukup penting, sebab kita tidak mahu apa-apa berlaku lepas PRU-14 berlaku lepas PRU-15 dan ini wajib diterima semua parti, sama ada yang berada dalam  kerajaan atau pembangkang, kerana parti-parti ini juga  dimangsakan apabila ada ahli Parlimen dan ADUN bertukar ‘kolam politik’ mereka,” katanya selepas merasmikan Wacana Aspirasi UMNO di Menara Dato’ Onn hari ini.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tiada keperluan Mesyuarat Khas Parlimen diadakan bagi membentang dan membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Katanya, keputusan tersebut dibuat selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempertimbangkan beberapa perkara termasuk penjimatan kos operasi Dewan Negara dan Rakyat sebanyak RM1,077,600.

Katanya, RUU tersebut akan dibahaskan dan dibentangkan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Keempat Belas 2022 bermula 18 Julai 2022 sebagaimana takwim sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Wan Junaidi turut memberi jaminan sesi Dewan Rakyat kelak akan memberi masa yang cukup untuk sesi perbahasan mengenai RUU berkenaan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tak perlu Mesyuarat Khas Parlimen bahas RUU lompat parti – Wan Junaidi