Home Nasional Ribuan penyokong bola serbu Stadium Bukit Jalil, operasi LRT dilanjutkan

Ribuan penyokong bola serbu Stadium Bukit Jalil, operasi LRT dilanjutkan

Antara penyokong Harimau Malaya yang hadir bagi menyaksikan perlawanan bola sepak Malaysia menentang Turkmenistan dalam aksi kelayakan kumpulan E Piala Asia 2023 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 08 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Rapid KL mengumumkan operasi Stesen LRT Bukit Jalil telah dilanjutkan sehingga pukul 1 pagi sempena dengan perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia menentang Bahrain  di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Pengendali perkhidmatan tren Transit Aliran Ringan (LRT) itu berkata, tren terakhir menuju ke Sentul Timur akan berlepas pukul 12.03 tengah malam manakala tren terakhir menuju ke Putra Heights akan berlepas pukul jam 12.44 tengah malam.

“Tren tambahan akan disediakan bagi membawa penumpang setelah selesai perlawanan. Penumpang boleh meneruskan perjalanan ke LRT Laluan Kelana Jaya di Stesen Masjid Jamek; dan ke MRT Laluan Kajang di Stesen Plaza Rakyat.

“Lebih 50,000 penyokong dijangka akan membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini untuk menyaksikan perlawanan tersebut.

“Pengangkutan LRT menjadi pilihan utama untuk ke stadium bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, para penyokong dinasihatkan membeli token perjalanan balik lebih awal sebelum masuk ke stadium atau pun menggunakan kad Touch ‘n Go untuk memudahkan urusan. – MalaysiaGazette