KUALA LUMPUR – Hujan sepanjang hari membuatkan permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil ditakungi air dan menjadi tular di media sosial.
Senario itu memaksa petugas stadium menolak air menggunakan penyodok dan kertas putih keras bagi memastikan permukaan padang dapat digunakan bagi aksi kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Bahrain.
Bagaimanapun tindakan itu menjadi kritikan netizen dan mempersoalkan kenapa jentera penolak air tidak digunakan seperti mana dipraktikkan oleh kebanyakan stadium di seluruh dunia.
Rata-rata berpendapat tindakan itu menyebabkan rumput di padang akan rosak.
Apatah lagi, Stadium Nasional Bukit Jalil pernah dilabel antara venue tercantik di rantau ini namun kemudahan teknikal yang terdapat di stadium itu tidak setaraf kualitinya.
Namun permukaan padang yang ditakungi pasti menjejaskan kualiti permainan yang mahu ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan. – MalaysiaGazette