Home Sukan Malaysia tewas 1-2 kepada Bahrain gara-gara penalti

Malaysia tewas 1-2 kepada Bahrain gara-gara penalti

Pemain Malaysia, Putera Nadher menanduk bola sambil diasak dua pemain Bahrain pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2023, Malaysia menentang Bahrain di Stadium Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 11 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Jaringan penalti pada lewat permainan meleburkan hasrat skuad negara untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata selepas tewas 1-2 kepada Bahrain pada aksi kedua Kelayakan Piala Asia 2023 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Kekalahan itu sukar diterima penyokong Harimau Malaya kerana pemain negara telah mempamerkan aksi bertenaga sepanjang perlawanan berdepan lawan di tangga ke-89 ranking dunia itu.

Masih dibuai kemenangan pada perlawanan sulung minggu lalu, Kim Pan-gon membuat perubahan apabila hanya mengekalkan Farizal Marlias, Matthew Davies, Mohamed Syamer Kutty Abba, Dion Cools, Corbin-Ong dan Darren Lok di kesebelasan utama.

Pertukaran itu bagaimanapun tidak langsung mengganggu rentak para pemain negara yang kelihatan cukup bernafsu untuk memberikan tekanan hebat kepada skuad kendalian Helio Felipe Sousa itu terutamanya pada babak pertama.

Skuad negara memberikan ancaman ke kubu Bahrain yang dikawal penjaga gol, Sayed Mohamed Abbas seawal minit keempat menerusi percubaan jarak jauh Nazmi Faiz Mansor.

Seminit kemudian, giliran Junior Eldstal pula mendapat peluang terbaik selepas beliau menerima umpanan kemas daripada Ahmad Khuzaimi Piee yang melepasi pertahanan lawan. Namun, kuisan lambung dilakukan pemain yang beraksi di posisi pertahanan tengah itu dalam kawasan penalti dinafikan Sayed Mohammed.

Beraksi di padang becak akibat hujan lebat yang turun pada sebelah petang membuatkan Bahrain begitu bergelut untuk mempamerkan corak permainan tersusun seperti kebiasaan.

Bermula separuh masa kedua, Malaysia akhirnya berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-55 menerusi Mohamadou Sumareh.

Berpunca daripada serangan balas pantas dimulakan Muhammad Akhyar Rashid, dia kemudiannya melorongkan bola kepada Khuzaimi di sebelah kanan yang melakukan hantaran lintang ke dalam kawasan penalti.

Kegembiraan itu bagaimanapun hanya mampu bertahan selama dua minit selepas Ali Abdula Haram yang tidak dikawal pertahanan kembali menyamakan kedudukan.

Malang menimpa skuad negara apabila Bahrain dihadiahkan sepakan penalti susulan kekasaran dilakukan Farizal Marlias terhadap Ali Jaafar Madan ketika situasi kelam-kabut di hadapan gawangnya.

Penyerang gantian, Abdulla Yusuf Helal yang mengambil sepakan tersebut pada minit ke-81 tidak berdepan masalah untuk menambah jaringan kedua Bahrain.

Kedudukan itu kekal hingga tamat permainan untuk Bahrain melonjak ke tangga teratas dengan enam mata manakala skuad negara di kedudukan kedua berikutan kelebihan perbezaan jaringan berbanding Turkmenistan. – MalaysiaGazette