Home Nasional Kongsi masalah atasi tekanan kerja, kemurungan – KP Kesihatan

Kongsi masalah atasi tekanan kerja, kemurungan – KP Kesihatan

Noor Hisham Abdullah, KP Kesihatan, Thanabalan mati di lokap
Dr. Noor Hisham Abdullah
KUALA LUMPUR – Individu mengalami tekanan kerja yang teruk serta tanda-tanda awal kemurungan perlu tampil memberitahu tentang permasalahan mereka kepada anggota keluarga atau rakan-rakan dipercayai, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata rakan-rakan atau anggota keluarga berdepan dengan mereka yang menghadapi masalah tekanan dan kemurungan itu pula disaran menjadi pendengar yang baik dan membantu mereka untuk mendapatkan rawatan.

Bercakap pada Muzakarah Pakar Kesihatan Mental : Perspektif Islam dan Neuropsikiatri, Dr Noor Hisham berkata tekanan kerja yang dihadapi jika tidak dikendalikan dengan baik boleh memberi impak negatif kepada kesihatan mental dan penurunan produktiviti.

“Dalam persekitaran pekerjaan, kebiasaannya, pegawai-pegawai yang menjawat jawatan tinggi dalam agensi kerajaan mahupun swasta akan sentiasa terdedah kepada tekanan kerja.

“Justeru, pegawai-pegawai ini perlu lebih terbuka untuk membincangkan tentang permasalahan dihadapi dengan orang yang dipercayai atau profesional,”katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Dr Nurashikin Ibrahim, yang mewakili Dr Noor Hisham untuk merasmikan seminar berkenaan.

Muzakarah anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) itu diadakan sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia yang disambut pada 10 Okt setiap tahun, dengan tema pada tahun ini ialah “Kesihatan Mental di Tempat Kerja”.

Dr Noor Hisham berkata majikan bertanggungjawab untuk menggalakkan amalan kesihatan mental yang baik di tempat kerja bagi mengelak persekitaran yang boleh mencetus faktor risiko dan memberi impak negatif kepada psikologi individu.

Faktor risiko yang lazimnya wujud di persekitaran tempat kerja dan boleh mendatangkan masalah kepada kesihatan mental antaranya tekanan pekerjaan, diskriminasi, buli, konflik pekerjaan dan keletihan, katanya.

Justeru, beliau berkata setiap organisasi perlu mengambil kira aspek psikososial dan risiko masalah mental yang dihadapi oleh pekerja untuk merancang strategi dan program berterusan.

Dr Noor Hisham berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia meramalkan daripada segi beban penyakit, kemurungan iaitu satu gangguan mental akan menduduki tempat kedua di belakang penyakit jantung iskemia menjelang 2020 berbanding tempat keempat pada 1990.

Di Malaysia, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 mendapati prevalen masalah kesihatan mental dalam kalangan individu berumur 16 tahun dan ke atas adalah 29.2 peratus (anggaran 4.2 juta) berbanding 11.2 peratus pada 2006.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah IKIM Prof Datuk Dr Azizan Baharuddin berkata keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mencadangkan agar dibangunkan Indeks Kesejahteraan Psikologi Malaysia bagi mengukur tahap kesejahteraan mental dan emosi masyarakat Malaysia menunjukkan betapa isu kesihatan mental perlu diberi perhatian serius.

Katanya isu itu seringkali dipandang ringan kerana simptom gangguannya tidak dapat dilihat secara fizikal sepertimana penyakit lain dan ini menjadi cabaran besar bagi golongan profesional kesihatan khususnya pakar psikiatri, psikologi dan juga kaunselor dalam menangani isu-isu melibatkan kesihatan mental yang semakin meruncing dalam masyarakat pada masa ini.

Justeru, beliau berkata usaha meningkatkan literasi kesihatan mental perlu diteruskan dan dihebahkan ke peringkat komuniti agar mereka sentiasa sedar akan kepentingan pengetahuan kesihatan mental.

Penggunaan media komunikasi yang lebih efektif untuk menyebarkan maklumat mengenai kesihatan mental juga perlu difikirkan sebagai satu cara untuk meningkatkan tahap pengetahuan masyarakat mengenai kesihatan mental, katanya.

— BERNAMA