KUALA LUMPUR – Perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Bahrain malam di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi sebaiknya ditangguhkan sekurang-kuangnya 30 minit bagi memberi masa untuk sistem perparitan padang berfungsi dengan lebih baik.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Mohd Faidz Sanusi berkata, cadangan agar perlawanan itu ditangguhkan kepada jam 9.30 malam telah diutarakan malam tadi, namun perlawanan tersebut tetap diteruskan seperti waktu sepak mula yang ditetapkan.
“PSM ingin menegaskan penangguhan itu amat perlu selepas menyaksikan hujan lebat tanpa henti lebih dua jam di kawasan sekitar Bukit Jalil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Berikutan hujan lebat, permukaan padang ditakungi air yang menyaksikan para petugas menggunakan penyodok sampah dan kertas keras untuk menolak air hujan yang bertakung.
Bagaikan bermain di sawah, Harimau Malaya tewas 1-2 di tangan Bahrain dalam perlawanan itu.
Menurut Mohd Faidz, tindakan menggunakan penyodok sampah itu adalah tidak wajar dan secara tidalk langsung mengakibatkan padang tersebut rosak.
Sementara itu, Mohd Faidz memberitahu, pihaknya komitmen untuk terus bekerjasama dengan Persatuan Biola Sepak Malaysia (FAM) dam Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi memastikan baki perlawanan kejohanan kelayakan Piala Asia 2023 berlangsung dengan lebih baik dan teratur.
Tambah beliau, PSM bersama Kementerian Belia dan Sukan akan memulakan proses penukaran padang stadium yang dijadualkan bermula pada suku pertama tahun hadapan serta lain-lain penambahbaikan Stadium Nasional Bukit Jalil sejurus selepas komitmen acara-acara lain yang telah ditempah oleh penganjur pada tahun ini. – MalaysiaGazette