KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menasihatkan anak muda supaya tidak menerima wang daripada kerajaan.
Ini kerana, menurut Ahli Parlimen Langkawi itu, kerajaan yang korup mendapat sokongan melalui wang yang diberikan kepada rakyat.
“Golongan muda mempunyai peluang untuk membuat semua pembetulan yang diperlukan kepada negara anda. Ia bergantung pada pendirian anda.
“Anda boleh berkempen untuk menjatuhkan kerajaan yang korup ini. Anda mesti ingat bahawa kerajaan yang korup mendapat sokongan kerana mereka memberi wang.
“Oleh itu, orang muda tidak boleh menerima wang, tidak boleh membiarkan diri anda rosak. Dan anda mesti mengundi parti yang tidak dituduh atau tidak mempunyai reputasi untuk rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada sesi Town Hall anjuran United Kingdom dan Eire Council for Malaysian Student (UKEC) di Imperial College, London.
Dalam ucapannya itu, Dr. Mahahir mendakwa parti yang menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu memperoleh kemenangan kerana menggunakan wang untuk membeli sokongan daripada rakyat.
Pengerusi Pejuang itu turut mendakwa parti pimpinannya tewas di kesemua 42 kerusi yang ditandingi dalam PRN Johor keranan tidak menabur wang kepada pengundi.
“Parti saya sendiri, Pejuang bertanding dalam pilihan raya Johor dan semasa kempen pilihan raya beberapa orang saya menghubungi pengundi dan meminta mereka mengundi kami dan jawapan yang mereka berikan adalah – “Berapa banyak yang anda akan berikan?”
“Jangan beri apa-apa wang kerana kami tidak mempunyai wang pada mulanya dan kami menentang rasuah jadi kami kalah kesemua 42 kerusi yang kami tandingi. Rakyat mengundi kerana diberi wang. Maka parti rasuah itu menang,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook.
Menurut Dr. Mahathir, pada PRN Johor tersebut sebanyak 47 peratus rakyat tidak keluar mengundi.
Hanya 53 peratus menunaikan tanggungjawab dan daripada jumlah itu sebahagian kecil didakwa Dr. Mahathir, telah mengundi yang mengamalkan rasuah.
“Yang lain mengundi parti lain tetapi begitu banyak parti yang bertanding dan kerana itu setiap parti hanya mempunyai sebilangan kecil calon yang menang.
“Jadi pihak rasuah menggunakan wang untuk membeli sokongan dan mereka mempunyai jumlah penyokong paling ramai kerana rasuah,” kata Dr. Mahathir.
Justeru menurut Dr Mahathir, jika anak muda ingin mengubah keadaan politik negara mereka perlu menolak rasuah dan menganggapnya sebagai jenayah terhadap negara.
Anak muda, menurut Dr. Mahathir mempunyai cara dan peluang untuk membersihkan Malaysia.
“Terpulang kepada anda sama ada negara ini dibersihkan, atau bebas daripada rasuah atau tidak. Terpulang kepada anda, melalui keputusan anda sendiri untuk menolak rasuah,” tegas Dr. Mahathir. – MalaysiaGazette
Disekolah lagi kena didik anti rasuah ni .