KUALA LUMPUR – Hektar Asset Management Sdn. Bhd. (Hektar Asset Management) melantik Johari Shukri Jamil, 50, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu berkuat kuasa 11 Jun lalu.
Hektar Asset Management dalam kenyataannya berkata, Johari akan menggantikan Datuk Hisham Othman, 60, yang telah mencapai umur persaraan wajib selepas menerajui Hektar Asset Management sejak Mei 2016.
“Lembaga Pengarah ingin merakamkan penghargaan kepada Hisham di atas sumbangan dan khidmatnya yang berharga dan mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau dan mencapai yang terbaik dalam usaha masa depannya,” kata Hektar Asset Management.
Johari yang dilantik ke Lembaga Pengarah Hektar REIT sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif pada Februari 2022 dan kini dilantik semula sebagai Pengarah Eksekutif/CEO, memiliki lebih 20 tahun pengalaman korporat yang luas, memegang jawatan kepimpinan kanan dalam pelbagai industri, termasuk Pembangunan Hartanah dam Perindustrian, Logistik dan Kejuruteraan.
“Kepakaran beliau dalam pengurusan aset, kewangan korporat, strategi, operasi dan mengurus perniagaan untuk mencapai hasil yang diinginkan melalui inisiatif transformasi adalah sangat relevan dengan REIT dan dijangka dapat digunakan dengan baik dalam menerajui Hektar REIT untuk meneruskan pemulihan pasca pandemik dan untuk carta inisiatif strategik baharu,” kata syarikat itu.
Johari memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Kimia dari Universiti Teknologi Malaysia dan Sijil Program Kepimpinan Lanjutan daripada Judge Business School of the University of Cambridge. – MalaysiaGazette