KLANG – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu bersetuju dengan tindakan kerajaan berhubung dengan pemansuhan hukuman mati mandatori.
Menurutnya, kerajaan tidak memansuhkan hukuman mati cuma ia tidak lagi mandatori, katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Raja.
Beliau berkata, dengan peruntukan baharu itu, hakim boleh membuat keputusan atau menjatuhkan hukuman berdasarkan hujah peguam bela.
“Bukan mansuh, ia tidak lagi mandatori. Misalnya kes dadah, jika tertuduh bawa beberapa gram dadah, kalau sebelum ini disabitkan kesalahan hukumannya mandatori gantung sampai mati, sekarang hakim boleh guna budi bicara.
“Kalau dulu hukumannya mandatori, sekarang hukuman itu tidak dihapuskan, cuma bukan lagi mandatori.
“Hakim boleh menjatuhkan hukuman berdasarkan hujah peguam,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas program minum pagi di sebuah restoran di sini hari ini.
Jumaat lalu, kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini, dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.
Keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Mesyuarat Jemaah Menteri minggu lalu.
Wan Junaidi dalam kenyataan berkata, kerajaan juga secara prinsipnya menerima serta mengambil maklum syor Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dijelaskan melalui laporan kajian itu.
Menurut Mohamad atau Mat Sabu, perubahan itu tidak menggugat perundangan negara kerana perkara berkenaan berlaku di seluruh dunia yang mana undang-undang sebelum ini menyebabkan hakim tidak ada pilihan.
Mengenai program hari ini, beliau menjelaskan, lebih dua tahun tidak dapat bersama masyarakat kerana kekangan pandemik Covid-19, yang menghalang pemimpin politik turun padang.
“Kita sudah dua tahun lebih tak dapat bersama rakyat secara umum, sekarang ini saya berjalan-jalan dan lepas ini kita akan tingkatkan majlis penerangan serta berinteraksi dengan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette