PUTRAJAYA – Pindaaan bagi memansuhan hukuman mati mandatori akan dibentang di Dewan Rakyat pada Oktober depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia merupakan antara 11 peruntukan undang-undang yang dibacakan pada sidang Parlimen akan datang.
Katanya, jika semua berjalan mengikut perancangan, Malaysia tidak akan mengenakan lagi hukuman mati mandatori bermula Januari tahun depan.
“Kita akan menjalankan tinjauan awam untuk mengumpul maklum balas daripada rakyat mengenai rancangan pemansuhan itu sebelum membentangkan undang-undang itu ke Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama.
“Jika boleh diselesaikan soalan-soalan (berhubung) pindaan dulu dan dibentangkan, Kabinet dah putus untuk putuskan tentang hukuman mati mandatori pada Oktober nanti.
“Di Dewan Negara akan dibincang pada Disember dan Insyaallah Januari 2023 kita sudah ada undang-undang yang dimansuhkan secara realiti,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Jumaat lepas, kerajaan mengumumkan mahu memansuh hukuman mati mandatori di negara ini.
Bagaimanapun, ia akan digantikan dengan hukuman lain tertakluk kepada budi bicara mahkamah.
Keputusan itu dicapai selepas Wan Junaidi membentangkan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori pada mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung Rabu lalu.
Malaysia ketika ini melaksanakan hukuman mati mandatori terhadap beberapa kesalahan antaranya melibatkan kesalahan terhadap Yang di-Pertuan Agong, mengedar dadah, membunuh dan melakukan perbuataan keganasan, selain beberapa lagi jenayah mengikut budi bicara mahkamah. – MalaysiaGazette