Home Sukan Kelantan FC nafi tidak bayar sewa stadium

Kelantan FC nafi tidak bayar sewa stadium

Foto Facebook Kelantan FC.

KUALA LUMPUR – Pasukan Kelantan FC menafikan faktor mereka terpaksa mencari padang perlawanan lain bagi aksi menentang Johor Darul Takzim (JDT) II pada 27 Jun ini adalah disebabkan tidak membayar sewa stadium dan padang latihan.

Sebaliknya, tindakan itu terpaksa diambil berikutan Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV) Kota Bharu hanya boleh digunakan sepenuhnya bermula 30 Jun ini.

Pengurus Operasi TRW Kelantan FC, Qusmaini Noor Rusli berkata, bilik persalinan yang tidak sesuai digunakan untuk perlawanan Liga Perdana Malaysia antara punca utama SSMIV tidak dapat kelulusan untuk digunapakai.

“Pihak kami kecewa dengan penyelenggaraan SSMIV yang masih belum disiapkan mengikut jadual berdasarkan surat rasmi bertarikh 8 Jun lalu.

“Sebagai pasukan tuan rumah, kami terpaksa cari lokasi alternatif bagi perlawanan nanti,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi pasukan itu.

Qusmaini berkata, pihaknya juga tidak mempunyai apa-apa tunggakan sewa atau bayaran padang latihan dan sebagainya seperti didakwa sesetengah pihak.

“Kami memandang serius perkara ini dan akan mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang menyebarkan fakta tidak tepat,” katanya.

Sebelum ini, stadium keramat Kelantan itu dinaiktaraf dengan peruntukan berjumlah RM5 juta dari penggantian tiang dan lampu limpah bagi memenuhi piawaian Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Kerja-kerja membaikpulih struktur bangunan pula dijangka siap sepenuhnya bulan ini manakala pembinaan lain pada Ogos depan. – MalaysiaGazette