Home Nasional UMS jalin kerjasama dengan dua universiti di Turki

UMS jalin kerjasama dengan dua universiti di Turki

menyaksikan kedua-dua pihak menandatangani MoU, di Istanbul pada Ahad lalu.

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Turki memanfaatkan hubungan akrab kedua-dua negara dengan menerokai kerjasama dalam bidang pengajian tinggi.

Jalinan diteruskan menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan dengan Yildiz Technical Universiti (YTU) dan Marmara University (MU).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, kerjasama berkenaan berpotensi untuk menarik kehadiran pelajar antarabangsa ke Malaysia.

“Kerjasama dua hala antara IPT kedua-dua negara bukan sahaja bakal meningkatkan keterlihatan universiti-universiti di Malaysia di peringkat antarabangsa, malah turut berpotensi untuk menarik kehadiran pelajar antarabangsa ke Malaysia serta mampu untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan kedua-dua pihak menandatangani MoU, di Istanbul pada Ahad lalu.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, kerjasama tersebut merupakan usaha universiti itu untuk meneruskan momentum peningkatan peratus kebolehpasaran graduan yang telah mencatatkan peratusan sebanyak 96.2 peratus pada tahun lalu.

Katanya, kerjasama dengan YTU akan melibatkan penyelarasan projek penyelidikan bersama dan penganjuran aktiviti pembangunan kokurikulum pelajar.

“Melalui MoU tersebut kedua-dua universiti akan berkongsi Geran Mobiliti Erasmus yang sepadan untuk menaja sekurang-kurangnya pertukaran tiga orang pelajar selama satu semester, tiga pensyarah universiti untuk pertukaran staf akademik dan tiga staf pentadbir selama lima hari setiap seorang.

“Tajuk penyelidikan bersama atau geran padanan yang akan dirancang adalah berkenaan kebolehpasaran siswazah, serta kesediaan siswazah untuk tenaga kerja.

“Penyelidikan ini mengkaji pengaruh faktor akademik dan kemahiran insaniah terhadap kebolehpasaran graduan pelajar pengajian tinggi di Malaysia dan Turki,” katanya.

Taufiq mewakili UMS menandatangani perjanjian tersebut, manakala YTU diwakili Rektor, Prof. Dr. Tamer Yilmaz.

Sementara itu, bagi perjanjian bersama MU akan menumpukan program mobiliti pelajar bertujuan meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar dengan pendedahan kepada aspek budaya, ekonomi, politik, akademik dan seterusnya pembangunan minda pelajar.

“Melalui program mobiliti staf di bawah program Erasmus pula secara tidak langsung memberi latihan dan meningkatkan kemahiran staf dalam pengajaran, penyelidikan dan pembangunan universiti sekali gus mempromosi UMS di peringkat antarabangsa.

“MoU dengan universiti ini juga menyaksikan Geran Mobiliti Erasmus sekurang-kurangnya bakal memberi faedah kepada tiga pelajar bagi program pertukaran pelajar selama satu semester, masing-masing tiga staf akademik dan pentadbir bagi tempoh lima hari,” kata Taufiq.

Beliau menambah, kolaborasi lain yang dirancang ialah projek penyelidikan bersama bertajuk ‘Peranan dan kesan gaji minimum dalam pemulihan ekonomi pasca pandemik: Kajian perbandingan Malaysia dan Turki’.

“Kajian ini bertujuan untuk mengupas isu dan persoalan tentang sejauh mana pelaksanaan gaji minimum dapat mengurangkan peningkatan kemiskinan dan ketidaksamaan pendapatan di Turki dan Malaysia, dan bagaimana ia dapat menyumbang kepada kestabilan ekonomi dan pemulihan kedua-dua negara terutamanya pada ketika dunia masih berdepan dengan penularan pandemik Covid-19,” katanya.

Terdahulu, menandatangani perjanjian itu menyaksikan UMS diwakili Taufiq manakala MU ditandatangani Rektor Prof. Dr. Mustafa Kurt.- MalaysiaGazette