PUTRAJAYA – Lebih 30 sesi libat urus bersama masyarakat Orang Asli dan penduduk setempat berhubung pelaksanaan Projek Hidroletrik Nenggiri telah dilakukan sebelum ini.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia dilaksanakan pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) yang turut disertai para pemimpin komuniti Orang Asli di tapak projek empangan hidro itu.
Katanya, Kajian Penerimaan Awam oleh juruperundingan, UKM Pakarunding Sdn Bhd pada 2018 menunjukkan tahap penerimaan projek oleh penduduk di ketiga-tiga perkampungan meningkat kepada 80 perarus berbanding 69.5 peratus pada 2015.
Jelas beliau, pihak Tenaga Nasional Sdn Bhd (TNB) bersama kerajaan Kelantan dan jabatan serta agensi berkaitan juga akan melakukan penempatan semula beberapa petempatan Orang Asli yang terkesan berdasarkan kepada keperluan perundangan dan persetujuan penduduk yang terlibat.
“Kerajaan menafikan projek ini meminggirkan wakil Orang Asli diperingkat pelaksanaan malah bantahan serahan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang diadakan pada minggu lalu diwakili oleh sebilang kecil suara Orang Asli yang tidak bersetuju dan disertai masyarakat Orang Asli dari kawasan luar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Permohonan Bidaan Bagi Kuota Baharu Tarif Galakan (FiT) 187 Megawatt (MW) untuk sumber biogas, hidrokuasa kecil dan biojisim Semenanjung Malaysia hari ini.
Kenyataan Takiyuddin itu merujuk kepada bantahan sekumpulan Orang Asli diketuai Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Mustafa Along yang menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri pada Selasa lepas apabila mendakwa pembinaan empangan hidrolektrik itu dianggarkan akan menenggelamkan kawasan hutan seluas 5,384 hektar yang merupakan tanah adat dan wilayah Orang Asli di Gua Musang, Kelantan.
Kuota FiT itu merangkumi 30MW dikhaskan bagi sumber biogas, 127MW bagi sumber hidrokuasa kecil dan 30MW bagi sumber biojisim.
Kesemua kuota berkenaan boleh dipohon secara bidaan atas talian (e-bidding) melalui laman sesawang SEDA Malaysia bermula pada 2 Ogos depan untuk hidrokuasa kecil serta 9 Ogos untuk biogas dan biojisim.
Permohonan kuota FiT secara e-bidding mula dilaksanakan pada tahun 2018 bagi sumber biogas sebelum diperluaskan bagi sumber hidrokuasa kecil pada tahun 2019 dan sumber biojisim pada tahun 2021.
Takiyuddin berkata, penduduk yang terlibat dalam projek empangan berkenaan akan ditempatkan di penempatan baharu yang lebih selesa dan dilengkapi kemudahan awam selain pendapatan yang lebih terjamin menerusi perusahaan kebun getah yang bakal dibangunkan.
Katanya, perunding arkeologi juga telah dilantik bagi pengurusan 13 tapak prasejarah yang dikenal pasti, khususnya gua-gua batu kapur bagi pelaksanaan kerja-kerja arkeologi atau carigali artifak secara besar- besaran.
“Projek ini membuktikan komitmen Kerajaan dalam merealisasikan Aspirasi Nasional iaitu mengurangkan kebergantungan terhadap arang batu sebagai sumber penjanaan elektrik dengan menetapkan sasaran sebanyak 31 peratus kapasiti Tenaga Boleh Baharu (TBB ) dalam pembekalan elektrik negara menjelang tahun 2025 dan 40 peratus menjelang tahun 2040,” tambahnya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Orang Asli Kelantan bantah pembinaan Empangan Hidroelektrik Nenggiri