Home Seni Hidup Anjung Patin Ville kekal harga sama walaupun kos meningkat

Anjung Patin Ville kekal harga sama walaupun kos meningkat

Pemilik Restoran Samudra Anjung Patin Ville, Hishammuddin Hamzah bergambar di hadapan papan tanda kedai yang terletak di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Permintaan tinggi penggemar masakan ikan air tawar menjadi faktor Restoran Anjung Patin Ville di Kampung Bharu di sini terus beroperasi meskipun terpaksa mendapatkan bekalan ikan sungai pada harga mahal.

Pemiliknya, Hishammuddin Hamzah berkata, demi pelanggan beliau terpaksa menyerap kos itu termasuk kenaikan harga barangan lain demi memastikan para pelanggan mendapat kepuasan.

Katanya, apa yang penting, pelanggannya berpuas hati dapat menikmati makanan yang jarang-jarang ditemui di Lembah Klang termasuk ikan patin liar dan itu sudah membuatkannya gembira.

“Memang sekarang ini harga ikan sungai naik harga. Kami dapat pun dengan harga yang mahal. Harga ikan patin sangkar sahaja sudah lebih RM20 sekilogram, itu harga runcit,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui pada satu majlis meraikan pelanggan di restorannya baru-baru ini.

Hishamuddin (berdiri tengah) melayan tetamu yang hadir di Majlis meraikan pelanggan di Restoran Anjung Patin Ville di Kampung Bharu, baru-baru ini.

Hishammudin berkata, meskipun harga ikan sungai yang diperoleh daripada pembekal dengan harga mahal namun beliau tidak menaikkan harga makanan.

Katanya, harga jualan bagi setiap menu masakan di restorannya masih sama seperti biasa dan pelanggan-pelanggannya tidak perlu bimbang dikenakan bayaran lebih.

Antara menu utama masakan melayu tradisional yang boleh didapati di Samudra Anjung Patin Ville, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Tambah beliau, kepuasan pelanggan adalah keutamaan di Restoran Anjung Patin Ville tidak kira sama ada ia melibatkan makanan yang disajikan ataupun harga yang perlu dibayar.

“Bagi saya, kalau dapat sajikan pelanggan dengan makanan yang memikat hati sudah pasti pelanggan akan rasa berbaloi membayar makanan yang dinikmati.

“Tapi, kalau mereka terpaksa membayar dengan harga mahal sedangkan makanan yang disajikan tidak mengikut selera, ia hanya akan menyebabkan orang rasa tak puas hati dan mungkin tidak akan berkunjung lagi,” ujarnya.

Menurutnya, sesiapa berminat untuk mencuba resipi makanan air tawar termasuk ikan patin liar dan ikan eksotik yang lain boleh menghubunginya di talian 019- 607 6737 atau berkunjung ke Restoran Anjung Patin Ville di Jalan Raja Abdullah, Kampung Bharu.- MalaysiaGazette