KUALA LUMPUR – Meskipun negara semakin terdedah dengan musim monsun dan hujan dengan risiko banjir namun masih ramai rakyat Malaysia belum miliki insurans banjir.
Statistik dari Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) menunjukkan hanya 4.0% daripada rakyat Malaysia yang telah membeli perlindungan insurans banjir.
AXA Affin General Insurance Berhad (AXA) berkata, ketika salah satu kejadian banjir yang berlaku di negara tahun lalu, lebih daripada 80% kenderaan yang ditunda oleh syarikat insurans tidak mempunyai perlindungan banjir.
Di sebalik peningkatan yang agak kecil dalam kalangan mereka yang membeli perlindungan banjir selepas kejadian banjir tahun lalu (3.9% dari pemegang polisi motor AXA telah memasukkan perlindungan banjir ke dalam polisi motor mereka tahun ini), ramai rakyat Malaysia masih kurang perlindungan insurans dan mempunyai kesedaran rendah terhadap kepentingan insurans banjir.
Emmanuel Nivet, Ketua Pegawai Eksekutif AXA berkata, seseorang hanya sedar tentang kepentingan perlindungan insurans selepas berlakunya sesuatu insiden apabila mereka tidak menerima sebarang pampasan atau tidak mempunyai cara untuk menggantikan kerugian atau kerosakan.
“Pemikiran seperti ini mesti diubah kerana insurans bukan mengenai ramalan atau pelaburan, tetapi langkah bersedia terhadap risiko luar jangkaan dan memastikan perlindungan kewangan dan ketenangan minda,” katanya.
Jelas beliau, insurans banjir adalah suatu keperluan dan penting untuk menginsurankan kenderaan, kediaman dan harta-harta lain untuk mengurangkan impak kewangan sekiranya berlaku sebarang kecelakaan.
Oleh kerana banjir adalah perlindungan pilihan di bawah polisi motor komprehensif, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk membeli atau menambah pelan insurans untuk merangkumi bencana banjir atau bencana khas (yang bukan sahaja melindungi terhadap banjir tetapi melindungi juga ribut, tanah runtuh dan lain-lain bencana semulajadi).
Untuk memupuk kesedaran yang lebih dan penghayatan tentang insurans banjir, AXA telah melancarkan kempen #BeFloodSmart di atas platfom media sosialnya untuk berkongsi tip pendidikan dan maklumat tentang banjir dan perlindungan insurans. – MalaysiaGazette