KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional Bhd menyifatkan artikel oleh sebuah akhbar harian bahawa ia (Khazanah) campur tangan sehingga menyebabkan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Peter Bellew meninggalkan syarikat penerbangan itu, sebagai salah dan mengelirukan.
Dalam satu kenyataan Khazanah berkata artikel bertajuk ‘Khazanah meddling led to Bellew exit?” yang disiarkan pada 17 Oktober, merupakan spekulasi dan berdasarkan sumber yang tidak dinamakan.
“Ia salah dan mengelirukan,” kata Khazanah.
“Secara kolektifnya, kami bekerjasama rapat bagi menjayakan penstrukturan semula itu sehingga hari ini,” katanya.
Khazanah juga menjelaskan bahawa tiada pegawai Khazanah dihubungi untuk memberi ulasan sebelum penyiaran artikel spekulatif terbabit.
Cabang pelaburan kerajaan itu itu berkata ia mematuhi rangka kerja kelulusan dan tadbir urus yang digariskan kerajaan menerusi Pelan Pemulihan MAS yang dikeluarkan pada 29 Ogos, 2014 dan Akta 2015 Malaysian Airline System Berhad (Pentadbiran) (Akta MAS 2015”), bagi penstrukturan semula Malaysia Airlines.- MalaysiaGazette