KUALA LUMPUR – Khuatir jika muncul kumpulan ekstrem yang terpengaruh dengan ideologi penghina Nabi Muhammad SAW, Nupur Sharma, satu laporan polis telah dibuat Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Bahagian Gombak, petang ini.
Laporan dibuat susulan tiga video tular di laman sosial Facebook dan TikTok yang dikatakan milik kumpulan yang menyokong pemimpin dari Parti Bharatiya Janata (BJP) itu berlatar belakangkan sebuah kuil di Gombak, Selangor.
Justeru, Putra Bahagian itu menerusi Timbalan Ketuanya, Mohamad Shahrin Ismail menggesa polis menyiasat segera perkara itu kerana dikhuatiri akan mencetuskan situasi tidak baik antara kaum.
Katanya, video mengenai kumpulan terbabit yang membuat kenyataan bahawa mereka menyokong Nupur yang menghina Nabi Muhammad itu dikatakan dihasilkan di negara ini.
Beliau menjelaskan, isi kandungan video itu juga secara jelas menunjukkan kumpulan terbabit seakan berikrar sentiasa berada bersama pemimpin BJP itu walau dalam apa keadaan sekali pun.
“Terjemahan kenyataan itu dibuat oleh seorang pelajar kaum India dari sebuah universiti tempatan dan diakui benar oleh seorang kaum India dan seorang muslim India,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Antara isi kandungan kenyataan itu, “Kita wakil dari Hindu Samachar, kita selalu akan berada dengan awak Nupur Sharma untuk apa yang awak buat setakat ini dan apa janji yang anda ada bagi kita setuju sepenuhnya dan apa-apa pemberontakan, kita sebagai Hindu Samachar sentiasa akan ada bersama anda.
“Dan sebagai hindu, kita akan sentiasa support (sokong) awak tak kisah apa pun jadi dan dalam kitab Hindu pun ada tulis, sebagai Hindu kita kena tolong sama sendiri”.
Bagaimanapun, menurut Mohamad Shahrin, ada sesetengah pihak mendakwa, kumpulan dalam video itu adalah individu warga asing, bukan kaum India tempatan.
Namun, kata beliau, Putra Bahagian itu menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.
“Jika benar individu tersebut warga asing, apa yang kita bimbang ialah golongan ekstrem ini telah memasuki Malaysia dan cuba mempengaruhi masyarakat India di sini.
“Kita hidup aman damai dengan pelbagai kaum dan bangsa. Jangan jadikan negara ini seperti negara India, yang mana kepimpinannya tidak berfikiran terbuka terhadap golongan minoriti.
“Kita juga minta Imigresen mengambil tindakan merampas pasport mereka dan menyiasat tindakan yang mengancam keselamatan rakyat Malaysia, selain mempunyai niat provokasi dan hasutan yang boleh mencetuskan pergaduhan kaum,” katanya. – MalaysiaGazette