SEOUL – Hillary Clinton berkata, ancaman untuk memulakan peperangan di Semenanjung Korea adalah ‘berbahaya dan berpandangan pendek’.
Lantaran itu, beliau mendesak Amerika Syarikat untuk mendapatkan semua pihak dan mengadakan rundingan semula.
Clinton juga menggesa China untuk mengambil peranan lebih banyak dalam menguatkuasakan sekatan terhadap Korea Utara bertujuan untuk membanteras pembangunan peluru berpandu dan nuklearnya.
“Tidak ada keperluan bagi kita untuk bergaduh dan agresif (lebih daripada Korea Utara),” kata Clinton pada forum yang diadakan di sini.
Beliau turut menekankan perlunya ada tekanan lebih besar terhadap Korea Utara dan diplomasi untuk membawa Pyongyang ke meja rundingan.
Ketegangan antara Pyongyang dan Washington melonjak berikutan pelancaran beberapa siri ujian senjata oleh Korea Utara.
“Memilih untuk bergaduh dengan Kim Jong-un umpama meletakkan senyuman pada wajahnya,” kata Clinton, tetapi tidak menyebut nama Trump.
Clinton juga secara tidak langsung merujuk kepada penghinaan Trump terhadap Korea Utara di Twitter yang mengatakan “penghinaan di Twitter telah memberi manfaat kepada Korea Utara, saya tidak fikir mereka telah memberi manfaat kepada Amerika Syarikat”.
Tweet yang dibuat itu menyebabkan rundingan masa depan dengan Korea Utara menjadi sukar, katanya sambil menambah bahawa Washington harus ‘tidak henti dan terus bekerja’ dengan melibatkan pelbagai pihak untuk berdialog dengan Korea Utara. – MalaysiaGazette