Home Sukan Sejarah tercipta buat Malaysia – PM

Sejarah tercipta buat Malaysia – PM

Foto Facebook Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah kepada skuad Harimau Malaya yang layak ke Piala Asia 2023, sekali gus menamatkan penantian selama 43 tahun untuk beraksi dalam saingan itu.

Menerusi hantaran di Facebook miliknya, Perdana Menteri melahirkan rasa bangga dan memuji barisan pemain kebangsaan yang berjuang hingga ke tiupan wisel terakhir apabila membenam Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam tadi.

“Sejarah tercipta buat Malaysia! Tahniah juga kepada para penyokong yang menyokong pasukan kita tanpa berbelah bagi. Kita teruskan perjuangan di Piala Asia 2023!,” kata Perdana Menteri.

Ismail Sabri yang hadir menyaksikan perlawanan itu turut memberikan kata-kata semangat apabila Malaysia menjaringkan gol.

Perdana Menteri turut menyifatkan persembahan skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon pada malam ini sangat baik dan membanggakan.

Skuad Harimau Malaya meraikan kemenangan dengan mengalahkan pasukan Bangladesh keputusan 4-1 selepas perlawanan Malaysia menentang Bangladesh pada kelayakan Piala Asia 2023. Foto MOHD ADZLAN, 13 JUN 2022.

Ismail Sabri turut mengucapkan terima kasih kepada penyokong Malaysia yang berada di stadium ataupun menonton di televisyen yang memberikan semangat kepada pasukan negara.

“Saya doakan selepas berjuang (habis-habisan) di Kelayakan Piala Asia kita boleh memberikan hadiah besar kepada Keluarga Malaysia dengan kejayaan di Piala Asia,” katanya.

Malaysia menamatkan penantian lebih empat dekad apabila melayakkan diri secara merit ke Piala Asia 2023.

Keempat-empat gol pasukan negara malam ini masing-masing dijaringkan Muhammad Safawi Rasid, Dion Cools, Muhammad Syafiq Ahmad dan pemain gantian Darren Lok.

Gol tunggal pasukan Bangladesh dijaringkan Mohammad Ibrahim.

Kali terakhir Malaysia membuat penampilan di Piala Asia adalah pada edisi 2007 ketika menjadi tuan rumah bersama, namun sudah 42 tahun pasukan negara gagal layak secara merit sejak edisi 1980 di Kuwait. – MalaysiaGazette