Home Nasional Usaha PN untuk tumbangkan Ismail Sabri punca Bursa Malaysia teruk – Najib

Usaha PN untuk tumbangkan Ismail Sabri punca Bursa Malaysia teruk – Najib

Najib Razak

KUALA LUMPUR – Usaha untuk menumbangkan kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri menjadi punca keyakinan para pelabur terhadap Bursa Malaysia terjejas.

Datuk Seri Najib Razak mendakwa, kestabilan politik yang masih terjejas menjadi antara faktor pasaran saham Malaysia masih belum pulih sejak Covid-19 melanda Malaysia berbanding negara-negara lain.

“Ketika ini, blok ahli parlimen kerajaan terbesar iaitu Perikatan Nasional (PN) masih mahu tumbangkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui cara berpakat dengan PH untuk mendapat sokongan 119 ahli parlimen.

“Menteri-menteri utama kewangan, ekonomi, perdagangan dan pengerusi Majlis pemulihan negara juga dari blok yang mahu tumbangkan PM,” dakwa bekas perdana menteri itu yang mengulas prestasi buruk pasaran saham tempatan.

Kata Najib, dari segi prestasi sejak PRU14, pasaran saham Malaysia adalah antara paling corot dalam dunia.

Jauh berbeza sebelum PRU14 yang mana Bursa Malaysai merupakan pasaran saham dalam trend menaik paling lama dalam dunia – indeks bursa naik ke paras paling tinggi dalam sejarah dengan 1,896 mata.

Lantaran itu, beliau mempersoalkan mengapa pasaran saham Malaysia menjadi satu-satunya yang bertambah teruk berbanding sebelum pandemik Covid-19 menyerang negara dua tahun lalu.

“Macam mana pasaran saham kami hari ini lagi teruk berbanding masa Covid bermula sedangkan ekonomi kami sudah dibuka semula, harga-harga komoditi eksport semakin tinggi dan prestasi eksport barangan pembuatan utama kita semakin mencanak?

“Apa yang menteri kanan ekonomi merangkap menteri MITI, menteri ekonomi, menteri kewangan, pengerusi Majlis Pemulihan Negara dan Bank Negara Malaysia (BNM) sedang buat?

“Saya harap mereka faham bahawa pasaran saham sesebuah negara mengambarkan keyakinan pelabur serta merupakan petunjuk bagi prestasi sesebuah negara,” tegasnya.

Selain itu, beliau mendesak kerajaan dan BNM untuk melakukan sesuatu untuk mengukuhkan semula nilai ringgit.

Menurut Najib, nilai ringgit semakin menjunam biarpun harga minyak dunia semakin tinggi menjadi antara sebab pelabur menjauhi pasaran saham Malaysia.

Katanya, ramai pelabur asing mungkin merasa nilai ringgit akan terus menurun dan kerana itu mereka tidak mahu melabur.

“Kerajaan dan BNM perlu buat sesuatu untuk stabilkan dan memulih nilai ringgit sebagaimana kerajaan BN dahulu buat ketika nilai Ringgit turun mendadak pada akhir tahun 2016 setelah Trump diumum Presiden USA.

“Langkah tersebut berjaya memulihkan nilai Ringgit ke paras RM3.83 ke AS$1 pada tempoh sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

“Masa itu juga kami menubuhkan tabung pelaburan ValueCap khususnya untuk melabur dalam pasaran saham Malaysia bagi mengembalikan keyakinan pelabur serta mengambil kesempatan harga saham yang lebih rendah masa itu,” katanya.

Selain faktor nilai ringgit turut mempengaruhi pelabur adalah kerana pengenalan dasar kewangan seperti cukai makmur serta pemansuhan pengecualian cukai bagi hasil diperolehi dari luar negara yang diumum dalam bajet 2022.

Kedua-dua dasar yang telah dibantahnya dalam sesi perbahasan di Perliman itu menghakis keyakinan pelabur.

Masalah kekurangan tenaga kerja yang semakin serius dan masih belum selesai turut mempengaruhi keyakinan pelabur.

Katanya, isu tenaga kerja mula menjejaskan prestasi pengeluaran serta rancangan perkembangan syarikat-syarikat tempatan.

“Saya sarankan dan saya sangat harap kerajaan hari ini akan mendengar rintihan saya ini kerana tiada sebab kenapa prestasi pasaran saham kita hari ini adalah lagi teruk berbanding masa Covid bermula,” katanya.- MalaysiaGazette