GEORGE TOWN – Permintaan tinggi terhadap ubat-ubatan tertentu akibat Covid-19 serta peningkatan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) ketika ini punca kekurangan bekalan ubat di negeri ini.
Pengerusi Persatuan Ahli Farmasi Malaysia (MPS) Pulau Pinang, Koay Wan Lee berkata, permintaan ubat tertentu tinggi sejak tahun lalu menyebabkan pembekal tidak dapat tampung permintaan pasaran secara menyeluruh.
Jelas beliau, faktor logistik juga antara sebab berlakunya kekurangan bekalan khususnya membabitkan ubat-ubatan yang diimport dari luar negara.
“Situasi kekurangan bekalan ubat berlaku di semua tempat dan banyak faktor mempengaruhi isu tersebut. Sebagai contoh jika dahulu ubat jenama A dibekalkan 1,000 tetapi kini permintaannya meningkat dua kali ganda sekali gus menyebabkan ia kurang di pasaran.
“Buat masa ini bukan semua jenis ubat kurang di pasaran hanya beberapa jenis iaitu membabitkan ubat demam, batuk, selsema, gel untuk HFMD serta beberapa ubat terkawal lain.
“Pelanggan sudah biasa dengan jenama tertentu jadi bila bekalan ubat itu kurang atau tiada di pasaran yang menjadi perbualan namun, ketika mereka datang ke farmasi kita akan cadangkan agar mereka membeli ubat jenama lain,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
MalaysiaGazette difahamkan kira-kira 500 ahli farmasi berdaftar dengan MPS bagi negeri ini.
Mengulas lanjut Wan Lee berkata, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin serta Kementerian Kesihatan (KKM) telah mencadangkan beberapa langkah bagi menangani isu tersebut dan pihaknya menyambut baik cadangan berkenaan.
Bagaimanapun, Wan Lee berkata, kerajaan boleh mencontohi langkah yang diambil Taiwan yang mana bekalan ubat diberikan secara sekata kepada semua fasiliti kesihatan.
“Contohnya ubat demam setiap penjual hanya boleh dapat maksimum 1,000 kotak ini secara tidak langsung mengelak seorang saja monopoli bekalan ubat tersebut,” jelas beliau. – MalaysiaGazette