Home Nasional Buat tuntutan palsu insurans kemalangan, tiga lelaki direman

Buat tuntutan palsu insurans kemalangan, tiga lelaki direman

Tiga suspek termasuk seorang penjawat awam direman di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini. Foto Ihsan SPRM.

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki termasuk seorang penjawat awam direman antara dua hingga empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu insurans kemalangan kereta pada tahun lalu.

Perintah reman terhadap kesemua suspek dikeluarkan oleh Majistret Muhammad Syafiq Sulaman selepas permohonan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini.

Menurut sumber, suspek berusia antara 22 hingga 35 tahun itu telah ditahan petang semalam selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.

“Suspek yang terlibat adalah runner bengkel, pegawai keselamatan dan pemandu di sebuah jabatan kerajaan.

“Kesemua mereka disyaki berkomplot dalam urusan mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu berkaitan tuntutan insurans kemalangan kereta kereta jenis perodua Alza atas seorang penama pada tahun lalu,” katanya.

Namun, hasil siasatan mendapati penama tersebut tidak membuat sebarang tuntutan insurans dan jumlah tuntutan yang dibuat oleh mereka masih dalam siasatan lanjut.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan untuk siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.- MalaysiaGazette