KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak berkata, kejatuhan ranking daya saing Malaysia pada kedudukan paling corot sejak 14 tahun lalu disebabkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) ‘separuh masak’ ketika negara ditadbir oleh Perikatan Nasional.
Bekas perdana menteri itu berkata, PKP yang dilaksanakan pada tahun lalu itu juga adalah tempoh paling panjang di dunia.
Lantaran itu, beliau menempelak Lim Guan Eng yang menyalahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ekoran penurunan ranking tersebut.
”Ranking daya saing Malaysia jatuh ke kedudukan paling corot sejak lebih 14 tahun lalu. Guan Eng salahkan PM pula.
”Tapi ini adalah ranking bagi tahun lepas di mana negara kita di bawah lockdown separuh masak dengan tempoh antara paling panjang di dunia ketika kerajaan PN memerintah.
”Jika Guan Eng nak cari salah pun, carilah juga Menteri Kanan Ekonomi merangkap Menteri MITI, Menteri Ekonomi, Menteri Kewangan serta Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri – iaitu semua yang berkaitan langsung dengan keadaan ekonomi negara,” kata Najib.
Beliau turut menyifatkan Guan Eng paling aneh apabila mendakwa Perdana Menteri gagal kerana Presiden DAP itu juga antara individu yang menandatangani perjanjian persefahaman untuk menyokong Ismail Sabri.
”Kamu kata gagal tapi kamu sokong gagal? Kenapa ya, Guan Eng?,” soal Najib. – MalaysiaGazette