PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Nor Zamani Abdol Hamid menjelaskan sukar untuk Kementerian Pendidikan (KPM) membanding prestasi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020 dengan 2021.
Katanya, ini disebabkan SPM 2021 merupakan peperiksaan yang mewajibkan pelajarnya melalui kohort pertama mengikuti Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) pada 2017.
“Kohort pertama dalam KSSM agak mencabar untuk kita tentukan kekuatan dan kelemahan mereka.
“Pelaksanaan KSSM ini bertujuan menyediakan calon dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai bagi memenuhi keperluan negara pada masa hadapan sejajar dengan hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan (PPPM) 2013-2025,” katanya dalam sidang media pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Kementerian Pendidikan, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Nor Zamani berkata, pihaknya berpuas hati dengan prestasi SPM 2021 dan menyifatkan ia merupakan keputusan yang membanggakan kerana KSSM merupakan kohort yang pertama dilaksanakan bagi peperiksaan itu.
Jelasnya, ibubapa serta masyarakat perlu meraikan prestasi itu kerana berjaya menghadapi cabaran sempena pandemik Covid-19.
“Sudah tentu KPM berpuas hati, pada saya kita kena raikan sebab semua calon berjaya habiskan peperiksaan masing-masing. Sebab itu sejumlah besar murid dijangkiti Covid-19 pada sidang dua.
“Bila murid itu dijangkiti Covid-19, cara pengurusan itu kita kena pastikan mereka kembali menduduki SPM di pusat periksaan mana pun kita terima,” katanya lagi.
Nor Zamani berkata, selari dengan pelaksanaan KSSM, peperiksaan SPM 2021 menawarkan 95 mata pelajaran iaitu 27 mata pelajaran baharu dan 68 mata pelajaran sedia ada, dengan jumlah kertas peperiksaan adalah sebanyak 180.
Calon SPM juga menduduki Ujian Lisan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris yang dijajarkan dengan Common European Framework of Reference for Languages (CEFR) dan Ujian Amali Sains (UAS), katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan penjajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris kepada CEFR adalah selari dengan hasrat yang terkandung dalam English Language Education Reform in Malaysia: The Roadmap 2015-2025
“CEFR merupakan satu piawaian antarabangsa yang digunakan untuk menunjukkan tahap penguasaan bahasa murid. CEFR ini turut dipaparkan dalam sijil SPM calon,” katanya.
Sementara itu, Nor Zamani berkata, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) akan menjalankan kajian terperinci keputusan SPM 2021 memandangkan ia pertama kali dilaksanakan dalam format baharu.
“Keputusan SPM 2021 ini memang kita tidak buat perbandingan dengan tahun sebelumnya kerana ia kohort pertama lalui KSSM,” katanya. – MalaysiaGazette