Home Nasional Whatsapp ‘Kl London New York’ jadi bukti 16 penipuan saksi kelapan

Whatsapp ‘Kl London New York’ jadi bukti 16 penipuan saksi kelapan

The Founder of Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali arrives at the Kuala Lumpur Court Complex for the abuse and neglect case of Bella, the 13-year-old girl with Down Syndrome. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 16 JUNE 2022.
The Founder of Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali arrives at the Kuala Lumpur Court Complex for the abuse and neglect case of Bella, the 13-year-old girl with Down Syndrome. PIX: AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 16 JUNE 2022. Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 16 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Pasukan peguam bela pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali menjadikan perbualan dalam kumpulan WhatsApp ‘Kl London New York’ untuk membukti saksi kelapan pihak pendakwaan Suhana Zam, 40 melakukan 16 penipuan ketika memberi keterangan.

Menurut Nur A’minahtul Mardiah Md Nor, antara penipuan yang dilakukan Suhana adalah mendakwa beliau tidur selama dua malam di kondominium Siti Bainun dan melihat remaja kurang upaya Bella berdiri di tepi dinding.

Nur A’minahtul Mardiah berkata, dalam keterangan utama Suhana memberitahu, dia tidur di rumah Siti Bainun selepas meraikan hari jadi seorang rakan bernama Haiza, bagaimanapun perbualan WhatsApp membuktikan sebaliknya.

Peguam: Fakta sebenarnya kamu tidur satu malam sahaja. Setuju?

Saksi: Saya tak ingat.

Peguam: Kamu telah bergerak meninggalkan kondo Siti Bainun lebih kurang pukul 5 petang 13 Februari 2021. Setuju?

Saksi: Saya tak ingat.

Kemudian Nur A’minahtul Mardiah menyerahkan kepada mahkamah bukti cetakan perbuatan dalam kumpulan WhatsApp untuk memperlihatkan garisan masa saksi kelapan itu pergi dan pulang dari rumah Siti Bainun.

Peguam: Perbualan muka surat sama 6.27 petang sampai ke rumah Siti Bainun. Kamu sampai petang. Kemudian 13 haribulan sudah balik dah. Pada 5.39 petang tu, cik Suhana kata lupa basuh balang. Sudah balik dan mesej beritahu lupa basuh balang. Betul?

Saksi: Betul.

Peguam: Jadi kejadian ini sampai 12 haribulan, balik 13 haribulan. Setuju?

Saksi: Setuju.

Peguam: Jadi kenyataan dua malam tersebut adalah keterangan palsu dan penipuan kamu yang kedua di mahkamah ini. Setuju?

Saksi: Tak setuju.

Peguam: Saya cadangkan cerita dua malam tidur di rumah kondo nampak Bela kena berdiri masa malam kedua adalah satu keterangan palsu kerana tidur satu malam sahaja. Setuju?

Saksi: Tidak setuju.

Kumpulan WhatsApp ‘Kl London New York’ tersebut mempunyai nombor telefon Siti Bainun, Suhana dan Haiza.

Selain itu, perbualan WhatsApp tersebut turut menunjukkan reaksi Haiza yang gembira apabila acara makan shell out  diadakan.

Dalam keterangan sebelum ini, saksi kelapan pendakwaan itu mendakwa Haiza tidak mahu menyertai majlis berkenaan yang turut menghidangkan ‘king crab’ kerana tidak sanggup melihat kecederaan yang berlaku ke atas Bella.

Peguam: Saya pergi kepada cadangan saya yang pertama di muka dua, apabila Siti Bainun suruh datang hari ini, Cik Suhana pada pukul 5.28 jawab ada benda nak buat. Betul

Saksi. Betul

Peguam: Di muka surat tiga, Haiza yang tak sanggup lihat Bella cedera, jawab pada pukul 5.31 petang 12 Jun 2021 esok Ahad lah. Betul?

Saksi: Betul.

Peguam: Haiza juga orang yang cik Suhana kata tak sanggup melihat Bella tadi minta acara itu dibuat pada keesokan hari. Muka empat, Betul?

Saksi: Betul.

Peguam: Saya rujuk muka 11 dan 12, Haiza yang tak sanggup melihat Bella ini beri gambar makanan, menyatakan akan bawa dua kotak. Adik dalam perbualan ini, kata esok kita akan makan shellout. Betul?

Saksi: Betul.

Peguam: Dan Haiza tadi kata ‘Yay, alright’. Betul?

Saksi: Betul.

Peguam: Cerita Haiza yang tak sanggup melihat keadaan Bella ini, melalui perbualan Whatsapp ini adalah penipuan kamu yang ke-14. Setuju tak setuju?

Saksi: Tidak.

Dalam pemeriksaan balas tersebut, Nur A’minahtul Mardiah juga mendakwa Suhana dan Haiza tidak tidur di kondominium tersebut kerana keesokan harinya adalah Isnin dan mereka pergi berkerja namun saksi kelapan tidak bersetuju.

Peguam itu turut mendakwa saksi menipu apabila menyatakan Siti Bainun mengarahkan baju Bella dibutang dengan kemas pada majlis sambutan hari raya agar kecederaan yang dialami remaja itu tidak kelihatan.

Mahkamah kemudiannya dipertontonkan video majlis sambutan berkenaan yang memperlihatkan baju Bella tidak dibutang dengan kemas seperti yang didakwa dalam keterangan sebelum ini.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi. – MalaysiaGazette