KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Tinggi yang sepatutnya mendengar permohonan Queen’s Counsel (QC), Jonathan Laidlaw membabitkan kes rayuan akhir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib hari ini mengambil keputusan untuk menarik diri.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, beliau terpaksa menarik diri memandangkan salah seorang daripada ahli keluarganya adalah Ketua Bahagian UMNO di sebuah negeri Pantai Timur.
Sebelum ini, Wan Ahmad merupakan ahli UMNO dan pernah bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) selain pernah dilantik menjadi Ahli Dewan Negara dan Timbalan Menteri.
“Saya ingin nyatakan bahawa seorang ahli keluarga terdekat saya adalah ahli politik yang aktif serta ketua bahagian parti politik yang sama dengan perayu. Ingin saya tegaskan persepsi awam tentang kebebasan badan kehakiman tidak boleh kita letak dalam keadaan curiga.
“Walau apapun, kebebasan badan kehakiman ini perlu kita lindungi. Dengan ini, saya ingin menarik diri dari dengar usul pemula ini, keputusan ini juga bukanlah permohonan dari mana-mana pihak,” katanya pada pengurusan kes hari ini.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid merupakan hakim baharu dalam pendengaran itu.
Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari pada bulan Ogos untuk mendengar rayuan Najib terhadap sabitan pada 29 April lepas.
Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan salah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas Najib selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International.
Mahkamah juga pada masa sama menolak permohonan Najib untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu dalam rayuannya berhubung pembabitan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar yang didakwa bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho.
Ada dakwaan yang menyatakan Zeti digunakan Jho Low untuk memudahkan dirinya menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya, SRC International. -MalaysiaGazette