Home Nasional 412 buah rumah berkembar ditawarkan kepada penduduk Muadzam Shah

412 buah rumah berkembar ditawarkan kepada penduduk Muadzam Shah

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melihat replika rumah PR1MA pada Majlis Perasmian dan Pecah Tanah Projek Perumahan Rakyat 1 Malaysia berhampiran Taman Pinggiran Pelangi, Bandar Muadzam Shah, Mukim Bebar, Rompin.

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang menawarkan sebanyak 412 unit rumah berkembar berkeluasan 1,000 kaki persegi yang dijual pada harga RM150,000 sebuah kepada penduduk Muadazam Shah.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri komited untuk menyediakan kediaman yang selesa dengan harga mampu milik yang akan dibina di tapak seluas 2,800 kaki persegi.

“Sebanyak 17 lot kedai dua tingkat dan sebuah lot perniagaan turut dibina bagi memberi kemudahan kepada penduduk,” katanya kenyataan sempena majlis Perasmian dan Pecah Tanah Projek Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA Pahang) berhampiran Taman Pinggiran Pelangi, Bandar Muadzam Shah, Rompin, hari ini.

Katanya, projek perumahan mampu milik itu memberi manfaat kepada golongan sederhana, M40, memiliki kediaman.

Jelasnya, bagi menambah keselesaan penghuni, projek tersebut akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti tadika, surau, tapak penjaja, tangki air dan dewan orang ramai.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut mempergiatkan pembinaan Rumah Rakyat Pahang (RRP) yang diberikan secara percuma kepada rakyat daripada golongan miskin atau miskin tegar, ujarnya. – MalaysiaGazette