Home Sukan Imbuhan khas: KBS perlu adil kepada setiap atlet lakar sejarah negara

Imbuhan khas: KBS perlu adil kepada setiap atlet lakar sejarah negara

Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Memberi imbuhan kepada Skuad Harimau Malaya yang layak ke perlawanan akhir Piala Asia 2023 adalah baik kerana ia dapat meningkatkan motivasi pemain untuk terus cemerlang di atas padang.

Namun, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebagai sebuah kementerian yang bertanggungjawab dalam perihal setiap jenis sukan, Kementerian Belia dan Sukan perlu bersikap adil.

Selain memberi imbuhan kepada pemain Skuad Harimau Malaya, setiap atlet yang melakar sejarah hebat untuk Malaysia juga perlu diberi imbuhan khas oleh kerajaan.

“Ramai juga tanya pendapat saya mengenai kontroversi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hendak beri imbuhan kepada skuad bola sepak.

“Imbuhan berikutan layak ke Piala Asia 2023 adalah ok, kerana diharap dapat meningkatkan motivasi pemain untuk terus cemerlang di atas padang, tetapi sebagai sebuah kementerian yang bertanggungjawab perlu bersikap adil.

“Kita berharap setiap atlet yang melakar sejarah hebat buat Malaysia turut diberi imbuhan khas oleh kerajaan,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Beliau mengulas berhubung cadangan kerajaan untuk memberikan imbuhan kepada pasukan negara yang berjaya mengalahkan Bangladesh 4-1 dalam perlawanan kelayakan Piasa Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa lalu.

Bagaimanapun, bentuk imbuhan itu masih dalam perbincangan antara KBS dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, perbincangan itu berkaitan sama ada imbuhan akan diberikan secara terus kepada pemain atau sebaliknya.

Ahmad Zahid berharap, kemelut itu tidak menjejaskan moral pemain bola sepak negara yang akan beraksi di China nanti.

Beliau juga tidak mahu mana-mana pihak mengganggu mentaliti pemain dalam kancah yang tidak sepatutnya.

“Kelayakan ke Piala Asia 2023 hanyalah permulaan. Harimau Malaya masih ada misi lebih besar.

“Adakah sesiapa terfikir apa agaknya dalam fikiran Kim Pan-Gon selepas mengetahui keadaan ini?

“Harap jurulatih dari Korea Selatan itu tidak begitu terkejut dan ok sahaja. Kekalkan fokus kemenangan wahai Harimau Malaya!,” katanya. – MalaysiaGazette