MELAKA – Ketika insan lain seusianya lebih banyak menghabiskan masa melakukan ibadat mendekatkan diri kepada Pencipta, lain pula tanggungjawab terpaksa dipikul seorang nenek apabila ibu dan bapa kepada empat cucunya yang masih kecil.
Semuanya itu dilakukan Jawi Boyak, 77, demi kasih sayangnya yang tidak berbelah bahagi terhadap empat cucunya, Nor Azwa Zali, 17, Ahmad Hairul, 16, Ahmad Norhafiz, 10 dan Ahmad Norhakim, 6, yang baru kematian ibunya 15 Jun lalu.
Ibu kanak-kanak terbabit, Norhafizah Mohd Yahya, 38, meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang Rabu lalu setelah lebih tiga tahun menjalani rawatan dialisis manakala bapa mereka ditahan polis sejak dua tahun lalu.
Lebih menyedihkan, tahap kesihatan Jawi pula tidaklah seberapa kerana mengidap darah tinggi dan terpaksa bergantung pada ubat untuk meneruskan hidup.
“Hendak menangis pun nenek sudah tidak mampu kerana sudah terbiasa berpuluh-puluh tahun menjaga empat cucu yang sudah dianggap seperti nyawa sendiri.
“Setakat ini, nenek masih mampu bekerja dengan pendapatan antara RM500 hingga RM600 sebulan mengambil upah mengurut, selain cucu-cucu juga bakal mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM600 sebulan,” katanya.
Warga emas itu ditemui pemberita di rumahnya di Taman Rambai Utama di sini hari ini selepas menerima kunjungan Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin.
Bercerita lanjut, Jawi berkata dia turut bersyukur apabila anak lelakinya, Abdullah Omar, 56, sanggup bersama-sama memikul tugas menjaga cucu-cucunya itu mengikut kemampuannya kerana pada masa sama perlu menanggung lapan anak.
“Sebelum ini ada juga orang bertanya untuk mengambil cucu-cucu nenek ini sebagai anak angkat, namun tidak akan sesekali nenek pisahkan mereka selagi hayat dikandung badan.
“Nenek fikir sekiranya Allah panjangkan sikit nyawa, biarlah nenek lihat mereka membesar depan mata sendiri kerana dua cucu yang kecil juga memerlukan rawatan sakit jantung yang dialami sebelum ini.
“Selama ini pun, nenek tak pernah hadapi masalah sampai tidak makan untuk membesarkan mereka,” katanya menahan sebak.
Sementara itu Kalsom berkata, JKM akan menyalurkan wang bantuan bulanan sebanyak RM600 bagi mengurangkan beban keluarga terbabit menggantikan bantuan pesakit terlantar sebanyak RM500 sebulan yang diterima arwah ibu mereka sejak 2019.
“Saya juga akan memastikan pendidikan semua empat cucu nenek yang tabah ini terjamin demi masa depan mereka melalui perbincangan denga Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN),” katanya. – MalaysiaGazette