Home Seni Hidup Amalkan cara uruskan sisa kebun dengan betul – Alam Flora

Amalkan cara uruskan sisa kebun dengan betul – Alam Flora

24 pempengaruh tempatan menyertai aktiviti cara menguruskan sisa kebun di Teluk Cempedak hari ini

KUANTAN – Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) akan meneruskan usaha  meningkatkan kesedaran orang ramai tentang cara-cara pembuangan sisa kebun dan pukal yang betul kepada setiap penduduk.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd Zain Hassan berkata, sisa kebun dan sisa pukal yang diuruskan dengan baik akan mengindahkan lagi pemandangan persekitaran.

“Orang ramai juga perlu mengetahui jadual kutipan sisa kebun dan sisa pukal di kawasan masing-masing dan mengeluarkan sisa-sisa tersebut pada hari yang ditetapkan bagi memudahkan Alam Flora membuat kutipan yang dijadualkan seminggu sekali.

“Apabila kita tahu hari apa dan bagaimana cara-cara untuk membuang sisa-sisa ini, orang ramai dapat merancang bila untuk membuang sisa-sisa tersebut dengan lebih berkesan,” katanya selepas acara perlepasan 24 peserta Cyber Eco Hunt 2022 di Teluk Cempedak hari ini.

Kemudian, katanya penduduk perlu meletakkan sisa tersebut bersebelahan dengan tong-tong sampah dan bukannya di bebendul jalan atau tempat-tempat awam seperti taman permainan.

“Sekiranya sisa kebun dan sisa pukal diletakkan di tempat-tempat lain, ianya bukan sahaja akan mencacatkan keindahan taman perumahan, malah akan mengundang wabak penyakit serta aktiviti sampah longgok dan sampah haram,” ujar beliau. – MalaysiaGazette