KUALA LUMPUR – Syarikat perkhidmatan pengangkutan awam RapidKL memperkenalkan dua laluan baharu bas pengantaranya bermula hari ini.
Menerusi kenyataan RapidKL memaklumkan, laluan-laluan tersebut adalah di Stesen MRT Pasar Seni (Pintu B) dan Stesen LRT Universiti serta Stesen LRT KLCC (Hentian bas KLCC) dan Stesen LRT Wangsa Maju.
Katanya, langkah berkenaan diambil bagi menampung keperluan penumpang LRT Laluan Kelana Jaya dan ia beroperasi dari pukul 4.30 petang hingga 7.30 malam.
“Perkhidmatan bas sokongan ini akan mengambil penumpang di stesen LRT/ MRT yang dinyatakan dan tidak akan berhenti di stesen-stesen lain. Kekerapan bas adalah setiap 15 minit,” katanya.
Tambah kenyataan itu, pengenalan laluan bas ekspress itu adalah bagi membolehkan pengguna menikmati perjalanan pulang dengan masa menunggu singkat ketika waktu puncak di sebelah petang.
Katanya, operasi laluan bas tersebut adalah dari hari Isnin hingga Jumaat dengan tambang perkhidmatan adalah percuma. – MalaysiaGazette