Home Nasional RUU Anti Lompat Parti kini di peringkat akhir

RUU Anti Lompat Parti kini di peringkat akhir

Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob bersalaman dengan sebahagian alumni yang hadir pada Majlis Perasmian Perayaan Jubli Emas Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti kini berada dalam fasa terakhir, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kata beliau, RUU itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Julai depan.

“Penyediaan Rang Undang-Undang ini oleh Jawatankuasa Pilihan Khas telah berada di peringkat akhir dan bakal dibentangkan di Parlimen pada bulan Julai nanti,” katanya selepas merasmikan Jubli Emas Fakulti Undang-undang di Universiti Malaya, hari ini.

Hadir pada majlis Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, tindakan melompat parti khususnya pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) jelas merencatkan proses demokrasi berperlembagaan negara.

Justeru itu, beliau berkata, RUU Anti Lompat Parti adalah mekanisme penting dalam menjaga proses demokrasi tersebut.

“Rang Undang-undang ini adalah mustahak untuk menjamin kestabilan dan integriti politik selepas PRU15,” katanya lagi.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tiada keperluan untuk kerajaan mengadakan mesyuarat khas Parlimen bagi membentang dan membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 berkaitan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Sebaliknya, Wan Junaidi berkata RUU berkaitan peruntukan larangan itu akan dibentang dan dibahaskan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Keempat Belas 2022 bermula 18 Julai, sebelum disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk pewarkahan dan pewartaannya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menjelaskan, kerajaan tidak akan memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini.

Katanya, perkara tersebut timbul kerana terdapat kekeliruan rakyat yang berpendapat hukuman itu telah dihapuskan.

“Kerajaan tidak menghapuskan hukuman mati, tetapi bergantung kepada kuasa dan budi bicara hakim untuk menentukan sama ada pesalah tersebut dijatuhkan hukuman mati ataupun hukuman pilihan yang lain.

“Objektif ini perlu menjadi asas dan dasar kepada kerajaan dan pembuat polisi dalam hal berkaitan penghukuman suatu jenayah untuk mencari hukuman yang terbaik, setimpal dan berkesan,” ujarnya.

Sebelum ini, beliau berkata pemansuhan hukuman mati mandatori bukan bermaksud tiada lagi pelaksanaan hukuman mati dalam sistem keadilan jenayah negara.

Sebaliknya, Ismail Sabri berkata, hukuman mati tetap ada cuma tiada lagi mandatori bagi memberi pilihan kepada hakim untuk menggunakan budi bicara masing-masing dalam menjatuhkan hukuman.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan akan meneliti RUU Dana Sumbangan Politik.

Katanya, usaha kearah itu bagi memantapkan lagi integriti politik serta turut merangkumi aspek- aspek lain termasuk pengawal seliaan dana sumbangan politik.

“Pengawal seliaan ini boleh meningkatkan ketelusan sumbangan politik di negara kita.

“Ini dapat mengurangkan risiko rasuah, serta apa-apa penyalahgunaan kuasa yang berkaitan dengannya,” jelasnya. – MalaysiaGazette