Home Nasional Tuduhan bersubahat dengan Rumah Bonda tidak berasas, fitnah – KPWKM

Tuduhan bersubahat dengan Rumah Bonda tidak berasas, fitnah – KPWKM

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun. Foto HAZROL ZAINAL, 30 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Tuduhan mengatakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun bersubahat melindungi Pusat Jagaan Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda (Rumah Bonda) adalah tidak berasas dan berunsur fitnah.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan segala tindakan yang diambil oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak Julai 2021 ke atas pusat itu adalah berdasarkan peruntukan undang-undang.

“Tindakan mengeluarkan kenyataan berunsurkan fitnah dengan tujuan menjatuhkan reputasi dan menangguk di air yang keruh adalah tidak wajar pada waktu perbicaraan Kes Bella masih lagi berjalan di mahkamah.

“Perbincangan lanjut bersama pihak Jabatan Peguam Negara akan dilaksanakan dan laporan kepada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan dibuat bagi memastikan tuduhan seperti ini tidak berulang lagi,” menurut kenyataan berkenaan.

Kenyataan itu merujuk kepada satu hantaran dimuat naik dalam laman Instagram pada 12 Jun lepas yang mempertikaikan tindakan penguatkuasaan ke atas Rumah Bonda dan menuduh Rina bersubahat melindungi pusat jagaan berkenaan.

KPWKM berkata, tindakan penguatkuasaan ke atas Rumah Bonda telah dimulakan sejak Julai tahun lepas dan berdasarkan siasatan didapati ia tidak berdaftar dengan JKM di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) yang merupakan satu kesalahan di bawah akta sama.

“Susulan itu, tindakan lak (seal) terhadap premis berkenaan telah diambil pada 12 Julai selaras dengan Seksyen 16A Akta 506. Kertas siasatan juga telah dibuka dan tindakan kompaun telah diambil selaras dengan seksyen 21A Akta 506 dan Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan (Pengkompaunan Kesalahan) 2011 serta dibuat dengan keizinan Pendakwa Raya berdasarkan fakta-fakta kes yang jelas,” menurut kenyataan itu lagi.

KPWKM berkata, amaun kompaun RM5,000 yang telah dikenakan terhadap pengendali Rumah Bonda adalah amaun kompaun maksimum yang boleh dikenakan di bawah Akta 506 dan sekiranya tidak dibayar dalam tempoh ditetapkan, pendakwaan di mahkamah boleh dibuat. – Bernama