JAKARTA – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kejayaan sesebuah negara boleh dicapai apabila terdapat kepimpinan yang baik dan tidak henti memikirkan nasib rakyat, melangkaui nasib diri dan keluarga.
Pemimpin yang mahu menerajui kepimpinan nasional juga perlu mempunyai jati diri yang tinggi dan berpegang kepada nilai-nilai murni, katanya ketika menyampaikan kuliah umum anjuran Parti Nasional Demokrat (NASDEM) Indonesia hari ini.
Dr Mahathir tiba di Jakarta tengahari tadi untuk lawatan singkat atas undangan Ketua Umum Parti NASDEM Surya Paloh. NASDEM merupakan salah satu parti dalam gabungan pemerintahan Presiden Joko Widodo.
Bekas perdana menteri Malaysia itu berkata, beberapa negara yang demokrasinya jauh lebih matang telah terpesong daripada aspirasi nasional, apabila pemimpin-pemimpinnya menjadi dalang untuk melakukan jenayah perang terhadap negara lain.
“Pemimpin-pemimpin sebegini yang selayaknya digelar penjenayah perang adalah contoh bagaimana pemimpin yang curang dan penipu mampu membuat negara-negara yang telah matang demokrasinya tergelincir daripada landasan,” katanya.
Sementara itu, Dr Mahathir berkata, sebuah kerajaan yang stabil perlu bagi seseorang pemimpin untuk memajukan negaranya meskipun sering disalah-ertikan sebagai menggalak kepada authoritarianisme dan pemerintahan diktator.
Bagi beliau kerajaan yang stabil bermaksud kepimpinan nasional, setelah terpilih menerusi pilihanraya yang adil dan telus tidak berterusan bergelumang dengan politik kepartian.
“Demokrasi yang dipegang perlu difahami sebagai menerima keputusan majoriti rakyat dan yang tewas menghormati keputusan itu dan tidak melakukan aksi-aksi politik yang menyebabkan ketidakstabilan kepada Kerajaan,” jelasnya.
Pembangkang pula perlu menjalankan tanggungjawab sebagai pengkritik yang konstruktif serta menjadi pemerhati yang efektif, dan cuma dalam keadaan yang luar biasa baharulah pembangkang menekan supaya pemimpin kerajaan melepaskan jawatan dan tidak semestinya keseluruhan kerajaan. – Bernama